Monday, March 5, 2012

Review Buku Fixi: KOPI


Takkan ada satu makhluk dalam planet ini yang tak pernah merasai minuman yang diberi nama 'kopi'. Semua  orang pernah mencerna kepahitan minuman ini, dan tergilakan perasaan yang hadir bersamanya. Ada yang menjadi obsesif dengannya, sehinggakan fizikal dan mental tak dapat berfungsi cermat tanpanya.

Itulah keajaiban satu minuman yang sudah sinonim dalam kehidupan seharian manusia. Ianya lebih adiktif dari teh, lebih menyegarkan dari jus, dan lebih mengkhayalkan dari alkohol. 

Itulah tema yang dibawa oleh antologi yang bergelar KOPI ini. Buku Fixi sekali lagi membawa anda berfikir bagaimana sesuatu objek yang dipandang remeh dan mudah memberi impak yang agak ketara dalam kehidupan seharian seseorang individu, dan kadang-kala ia juga membawa perubahan dalam hidup seseorang.

Berikut adalah kata-kata pengenalan daripada editor KOPI, saudara Amir Muhammad:

Dari usia remaja di alaf yang lalu hingga ke tahun 2011, saya ketagih sesuatu. Ketagihan itu tidak sihat dan saya sering cuba menghentikannya. Tiga kali cuba dan tiga kali gagal. Rupa-rupanya jawapannya ialah untuk mendapat bahan baru untuk dinikmati setiap hari; dan bahan itu adalah kopi.

Saya ingin tahu lebih tentang minuman yang adiktif ini. Ada orang yang akan pergi ke Wikipedia saja. Tapi yang bikin lebih intrig kepada saya: apakah cerita yang boleh direka oleh penulis-penulis Fixi mengenai kopi?


Pelawaan untuk menulis dihantar melalui emel pada 27 November 2011. Seminggu kemudian. hampir semua cerpen dalam buku ni siap ditulis! 'Kopi instan' yang tak sehebat kopi gourmet kah? Tapi adrenalin yang memungkinkan buku ni dihasilkan dengan kelajuan ni lebih kepada ghairah suatu 'quickie' — biarpun cepat berlalu, ia tetap menyegarkan.
 

Jemput!

Antologi KOPI ini menghimpunkan 19 cerpen dari 19 penulis terbaik Fixi yang mengulas tentang satu objek yang amat mudah; kopi. Setiap cerpen mengambil pendekatan yang berlainan, menceritakan dengan gaya penulisan yang berbeza tentang hubung-kait minuman ini dengan manusia. Genre berbeza yang dimainkan dalam setiap cerpen memberi impak yang mendalam kepada pembaca, dan percayalah, apabila anda selesai mengkhatamkan kesemua 177 mukasurat, anda takkan lihat minuman bergelar kopi ini dengan pandangan yang sama seperti sebelumnya.

KOPI membawa genre seperti drama, thriller, cinta, misteri, sai-fai, dan banyak lagi genre yang parallel  dengan sifat minuman yang berstatus kultus itu sendiri. Kesemua 19 cerpen KOPI membawa anda berfikir kembali, bahawa setiap satu perkara, walau betapa kecil sekalipun, mampu memberi boleh memberi kesan yang mendalam. Sama ada dibawah sedar ataupun tidak.

Berikut adalah line-up kesemua 19 cerpen KOPI bersama penulisnya:

KOPI 3 RASA : Shaz Johar
BERSAKSI KOPI : Dayang Noor
KOPI KOLA : Nadia Khan
KOPI, DONAT DAN BAYANG GADIS BERAMBUT HIJAU : Adib Zaini
CINTA KOPI : Gina Yap Lai Yoong
LUWAK DAN KRETEK : Ridhwan Saidi
KOPI PERCIK : Amal Hamsan
KAU KOPIKOKU : Dheepan Pranthaman
KOPI JANTAN KAW : Nik Adam Ahmad
CETHU : Nabila Najwa
BARISTA CINTA : Shafaza Zara Syed Yusof
HARI INDITIH : Asyraf Bakti
MALAM, DI MEJA TEMPAT KAU TERLENTOK : Hafiz Hamzah
RITUAL : Luc Abdullah
TANGAN BERULAT : Fadli Al-Akiti
VENTI : Redza Minhat
KOPI JULIA : Faizal Sulaiman
SECANGKIR KOPI BERSAMA DIA : Syaihan Syafiq
KOPI MIMPI : Raja Faisal

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa tindakan berani Buku Fixi untuk menerbitkan sebuah antologi cerpen yang sering kali dipandang remeh sangat berhasil. Dengan himpunan penulis-penulis hebat seperti Shaz Johar, Adib Zaini, Nadia Khan, Redza Minhat dan Ridhwan Saidi terbukti mampu membawa satu tema yang begitu mudah dan mengolahnya dengan cara yang berbeza. 

Dan terus-terang saya nyatakan, setiap cerpen begitu adiktif dan mengasyikkan sehingga terasa sayang untuk menghabiskannya dalam satu pembacaan. Dan tentu sekali setelah menamatkannya, tiada minuman lain yang didambakan selain dari kopi.

Antologi KOPI ini merupakan cetakan tunggal dan terhad dan hanya dijual di pesta-pesta buku atau di website Kedai Fixi. Acara pelancarannya dijadualkan pada 24 Mac 2012 sempena Art For Grabs di The Annexe, Central Market, Kuala Lumpur. Juga turut serta pada hari pelancaran itu adalah tayangan perdana beberapa filpen yang diadaptasi terus dari antologi KOPI ini. Khabarnya juga ada kopi percuma!

KOPI juga akan berada di booth Fixi di eCurve, Mutiara Damansara pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Juga di Pesta Buku Antarabangsa PWTC pada 27 April hingga 6 Mei 2012.

Bagi peminat Buku Fixi, antologi KOPI adalah sesuatu yang mesti. Anda boleh jangkakan kejutan dalam setiap helaiannya, dan anda takkan kecewa dengan pengakhirannya.

Anda boleh layari fenpej KOPI di Facebook dan website Buku Fixi untuk maklumat lanjut dan kaedah membelinya.

Sekian.

Sekadar coretan hati.

4 comments:

  1. Hebat ker saya pacal yg hina ini?

    ReplyDelete
  2. sudah tentunya hebat! *angkat gelas*

    ReplyDelete
  3. Nama dalam senarai tu semuanya hebat kecuali penulis Barista Cinta.

    Sobs.

    ReplyDelete
  4. Usahlah merendahkan diri anda yang sedia rendah. Senang cakap semua cerita best!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...