Sunday, March 11, 2012

10 Nasihat Berguna Untuk Bakal Penulis

Salam,

Anda minat menulis? Bercita-cita untuk menjadi penulis terkenal dan kaya seperti J.K. Rowling, Stephen King atau John Grisham? (Stephenie Meyer tidak gua mensi di sini kerna perbuatan menghentak kepala ke papan kekunci tidak diketegorikan sebagai menulis)

Siapa dia ni? Anda cari sendiri.

Realitinya, dunia penulisan negara ini masih di takuk lama. Kebanyakan genre yang diteroka dan dikupas penulis-penulis tempatan masih lagi berkenaan tajuk-tajuk yang objektif seperti cinta dan komedi. Dan jarang sekali penerbit-penerbit arus perdana di luar sana yang berani menerbitkan hasil penulisan di luar tajuk-tajuk tersebut.

Maka wujudlah beberapa penerbit-penerbit bebas atau "indie" yang berani mengorak langkah untuk keluar dari takuk lama. Penerbit seperti Buku FixiSeLUT PressSang Freud Press dan juga Lejen Press mengambil langkah berani dengan merekrut segerombolan penulis-penulis baru yang gaya penulisannya berbeza dari karya-karya arus perdana. Sama ada dalam bentuk novel, cerpen ataupun puisi dalam berbagai genre yang sebelum ini dilihat "janggal" atau "tabu" seperti thriller, sai-fi, pulp fiction dan sebagainya.

Dengan kehadiran penerbit-penerbit indie seperti mereka, maka semakin ramailah penulis atau bakal penulis yang bakal muncul dalam dunia penulisan tanah air.

OK, entri hari ini adalah himpunan nasihat dan tips yang berguna untuk bakal-bakal penulis berbakat di luar sana yang masih lagi tercari-cari arah tujuan mereka. Nasihat yang gua bakal outline di sini adalah petikan dari penulis-penulis terkenal tanah air dan juga antarabangsa.

Menulis tak sesukar yang anda jangka. Namun tak senang juga!

Gua mulakan dengan yang pertama:

1. Tetapkan niat anda sebelum menceburi bidang penulisan.

Terus terang gua nyatakan, kalau tujuan anda menulis adalah kerna duit, maka anda lebih berpeluang jadi kaya dengan bekerja sebagai seorang doktor. Menulis memerlukan tahap keikhlasan terhadap seni yang tinggi, dan setiap seni yang dilahirkan dengan rasa ikhlas dan minat akan lebih halus hasilnya. Dan kajian juga menyatakan, kebanyakan penulis akan mati miskin tapi terkenal. Pilih antara dua; duit ataupun nama. Kalau duit yang anda pilih, menulis bukan jalannya. Menulis kerna minat, itulah yang lebih afdal.

Jika bakat yang anda risaukan, di sini gua nyatakan kebanyakan penulis terkenal masa kini bukan dari latar belakang dunia penulisan Gua pegang dengan pepatah meleis, belakang parang kalau di asah akan tajam juga.

2. Banyakkan membaca karya orang lain.

Seperti arkitek dan jurutera, proses pembelajaran mereka adalah daripada hasil kerjatangan individu yang lain. Makanya dalam penulisan, anda harus rajin membaca karya dan gaya penulisan penulis lain sebelum anda ketemu gaya penulisan anda yang tersendiri. Plagiat bukanlah satu opsyen, namun dalam dunia tanpa sempadan ini takkan ada lagi yang asli. Termasuklah payudara.

3. Menulis, dan jangan berhenti menulis.

Ini gua petik dari salah satu Dewa Penulis, iaitu Neil Gaiman. Jika anda minat menulis, jangan sesekali berhenti menulis. Habiskan apa yang anda sedang menulis, dan simpan hasil tulisan anda itu sebagai rujukan. Dan selepas itu mulakan penulisan yang baru. Kebanyakan trend penulis masa kini adalah menggunakan blog sebagai arkib penulisan mereka, dan ia merupakan satu platform yang bagus.

4. Eksperimentasi

Cari genre yang anda selesa, dan mula bereksperimen dengannya. Jika anda selesa dengan genre seram, mulakan penulisan dengan sebuah cerita seram. Genre yang sesuai membolehkan seorang penulis mengolah jalan ceritanya dengan teratur, tanpa perlu membuat rujukan secara menyeluruh tentang genre tersebut. Tak salah untuk bereksperimen dengan beberapa jenis genre sebelum memilih satu daripadanya. Penulis yang baik mempunyai kebolehan untuk menulis beberapa jenis genre cerita. Tapi sebagai permulaan, pilih satu sahaja daripadanya. 

Penulis Ridhwan Saidi pernah menyebut bahawa cerita yang bagus adalah yang berdasarkan pengalaman penulis itu sendiri. Jadi mulakan dengannya. Idea untuk menulis juga akan datang dengan cara yang takkan anda duga, jadi sentiasa bersedia dengan buku nota ataupun telefon bimbit sebagai bank idea anda.

Harus diingat, tak semestinya anda harus terus menulis sebuah novel, mulakan dengan sebuah cerita pendek, dan teruskan menulis beberapa buah cerita selepas itu. 

5. Kepelbagaian.

Menulis dalam erti kata yang sebenar tak tertakluk kepada penulisan novel atau cerpen sahaja. Cabang penulisan yang lain seperti skrip drama atau filem, lirik lagu, terjemahan, sarikata dan banyak lagi merupakan pemangkin kepada seorang penulis. Jika anda benar-benar minat dengan penulisan, jangan hadkan diri anda dengan menulis satu cabang penulisan sahaja. Menceburi cabang penulisan yang lain membolehkan seorang penulis memantapkan lagi gaya penulisannya. 

6. Internet sebagai teman baik seorang penulis.

Seperti yang gua nyatakan di atas, kebanyakan penulis-penulis baru menggunakan blog sebagai medium penyampaian mereka. Ini adalah salah satu cara untuk bagi seorang penulis untuk mendapat liputan tentang hasil karya mereka. Internet juga membolehkan seorang penulis membuat kajian yang terperinci tentang tajuk yang sedang ditulisnya. Jikalau boleh, jangan jadi seorang penulis tanpanya.

7. Terima kritikan sebagai salah satu proses menulis.

Neil Gaiman pernah berkata, hasil karya seorang penulis, terutama sekali karya yang pertama akan dikritik habis-habisan. Jangan jadikan ia sebagai satu halangan bagi anda menulis, tapi jadikan ia sebagai perangsang penulisan anda yang seterusnya. Lihat setiap kritikan dari sudut pandangan yang positif, dan jika kritikan itu kritikan yang membina, aplikasikan ia dalam penulisan anda yang akan datang. Sepertimana seorang pelakon yang sering dikritik kerna lakonannya, begitu juga seorang penulis. Jika Tom Hanks tak dapat menerima kritikan tentang lakonan dalam filem pertamanya, maka beliau takkan terkenal hingga ke hari ini.

8. Ulangkaji hasil karya anda.

Di sini gua petik terus dari kata-kata Neil Gaiman tentang proses menilai sendiri karya yang baru saja anda hasilkan:
"The best advice I can give on this is, once it's done, to put it away until you can read it with new eyes. Finish the short story, print it out, then put it in a drawer and write other things. When you're ready, pick it up and read it, as if you've never read it before. If there are things you aren't satisfied with as a reader, go in and fix them as a writer: that's revision." 
- Neil Gaiman
Pendek kata, jika anda takut untuk orang lain menilai karya anda, anda nilaikannya sendiri menggunakan cara di atas. Menurut penulis Adib Zaini, akan sampai juga satu tahap di mana anda akan membenci karya anda sendiri. Itu juga merupakan salah satu proses kreatif di mana seorang penulis akan merasa ragu-ragu dengan penghasilan sesebuah jalan cerita. Jangan gusar, ini adalah normal bagi seorang penulis. 

Sudah menjadi norma bahawa 10,000 patah perkataan pertama yang anda tulis adalah yang paling lemah. Seorang penulis yang berjaya adalah seorang yang boleh melepasi tahap perkataan ke-10,001 dan meneruskannya hingga tamat.

9. Cari penerbit yang sesuai untuk menerbitkan karya anda.

Bergantung kepada karya yang dihasilkan, jangan segan dan silu untuk menghantarnya kepada beberapa penerbit yang berlainan untuk diterbitkan. Jika anda beniat untuk menerbitkan sebuah novel, hantarkan dua bab pertama kepada penerbit untuk dinilai. Kebanyakan penerbit buku mempunyai para panel yang akan menilai karya anda, dan jika (harap tidak) karya anda ditolak, usah anda berputus asa. Feedback yang diberi oleh penerbit adalah salah satu kritikan membina yang boleh anda guna-pakai sebagai pembakar semangat untuk terus menulis.

10. Teruskan menulis.

Dan yang terakhir, sekali lagi gua ulang. Jika anda benar-benar minat menulis, JANGAN BERHENTI MENULIS. Bergantung kepada mutu karya (dan kadang-kala pada tuah), seorang penulis boleh mengambil masa dari satu hingga 10 tahun sebelum karyanya diterbitkan. Jangan putus asa, teruskan usaha anda dalam dunia penulisan. Kerna esok atau lusa, tiada siapa yang mampu mengagaknya.


Nasihat dan tip-tip yang gua nyatakan di atas hanyalah sebagai nasihat kepada bakal-bakal penulis di luar sana. Seperti anda semua, gua merupakan seorang amatur yang baru lagi menceburkan diri dalam arus perdana dunia penulisan. Di harap entri gua kali ini dapat memberi sedikit-sebanyak dorongan dan panduan kepada semua bakal-bakal penulis hebat di luar sana. 

Banyak yang berkata bahawa menulis ini merupakan satu perkara yang sukar, tapi jika anda belum mencubanya, manakan anda tahu hasilnya. Tak gitu?

Sekian,

Sekadar coretan hati.

P/s: Nasihat-nasihat Neil Gaiman untuk bakal penulis juga boleh dilayari di sini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...