Monday, December 26, 2011

Review Buku Fixi: KELABU

Nota: Review ini adalah spoiler-free. Kalau nak spoiler jugak, sila beli buku ini dikedai buku berdekatan.

Dah beberapa bulan gua tak update blog gua ni, memandangkan gua dah pun busy dengan projek penulisan gua (yang dah nak siap, sebab tu gua boleh blogging balik), dan juga beberapa hal berkaitan dengan study yang tak dapat gua elakkan.

Gua memang merupakan seorang pembaca novel yang tegar, namun tak pernah terlintas dihati gua untuk menulis review untuk mana-mana buku yang pernah gua hadap. Tapi setelah mendapatkan senaskah novel di Boco! 2011 dan juga setelah selesai membacanya, hati gua terpanggil untuk menulis sebuah review mengenai novel yang gua beli itu. Kenapa dan mengapa, yang tu akan dijelaskan dibawah. 

Novel tersebut adalah KELABU, penulisnya pula adalah Nadia Khan (yang lebih selasa gua gelarkan sebagai Nedd), dan diterbitkan oleh syarikat penerbitan yang popular dengan gaya novel pulp fictionnya, tak lain tak bukan adalah Buku Fixi (Sila lihat dibawah untuk cover depannya, dan jangan tanya kenapa cover dia terbalik. Yang itu korang kena baca sendiri).

Gambar: Cover depan novel KELABU

Mengenai penulisnya iaitu Nadia Khan, beliau merupakan seorang lulusan MBBS (ya, beliau adalah seorang doktor, despite tanggapan umum yang tulisan doktor tak lawa. But she wrote this novel using MS Word anyway), dan sudah bercita-cita untuk menjadi seorang penulis sejak berumur 12 tahun lagi (yang beliau dakwa berlaku 5 tahun lepas). Berpengalaman luas dalam bidang penulisan, beliau telah menyertai pelbagai pertandingan penulisan termasuk anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka, sebelum disunting oleh saudara Amir Muhammad untuk dijadikan sebagai penulis Fixi.

Gambar: Penulis KELABU, Nadia Khan bersama penulis ZOMBIJAYA, Adib Zaini (berbaju hitam) dan juga salah seorang bakal penulis Fixi iaitu Mamu Vies. Peminat berbaju cokelat tidak dapat dikenalpasti.

Tapi sebelum tu gua dedahkan sedikit sinopsis novel yang bergelar KELABU ini (yang dicetak dikulit belakang novel ini) untuk tatapan korang semua.

"Senang kalau hidup dalam dunia hitam putih. Baik-buruk, betul-salah, cinta-benci, lelaki-perempuan.

Apa jadi pada yang ditengah-tengah?
Apa jadi pada orang-orang macam aku?

Bila Jun datang pada aku,menawarkan posisi sebagai 'boyfriend kontrak', aku tak tolak. Salah aku ke kalau aku kata "ya" pada awek cun? Salah aku ke kalau aku lagi pandai layan dia daripada boyfriend dia sendiri?

Salah aku ke kalau aku jatuh cinta padanya?

Aku Amir. Jemputlah masuk ke dunia aku, dimana hitam dan putihnya tak berapa jelas. Mungkin hanya selepas itu, korang akan faham macamana rasanya berada didunia aku. Dunia KELABU."

Memetik tulisan saudara Ridhwan Saidi dalam novelnya AMERIKA; "Sesebuah novel yang baik adalah novel yang ditulis berdasarkan pengalaman penulisnya sendiri." Namun bagi gua, sebuah novel yang baik bukan sahaja perlu ditulis berdasarkan pengalaman penulisnya sendiri, namun ia juga harus menyentuh keperibadian pembacanya juga. Dan saat gua membuka muka surat pertama novel KELABU ini, gua dah tau cerita yang disampaikan oleh penulis kecil molek ini banyak menyentuh beberapa aspek dalam hidup gua dan gua pasti juga pembaca-pembaca yang lain;

Hidup ini takkan pernah lekang dengan drama.

Ya, buku ini berkisarkan tentang pelbagai drama yang melanda hidup manusia biasa seperti gua setiap hari. Yang menyentuh aspek moral, cinta, pertemuan dan perpisahan, hidup dan mati, serta perubahan dari satu fasa ke fasa yang lain.

Dan kekuatan yang ditonjolkan dalam tiap bait-bait tulisan dalam novel KELABU inilah yang membezakannya dari mana-mana novel yang sama genre dengannya. Dan juga ia berjaya membuatkan gua yang bukanlah seorang peminat genre ini untuk membacanya.

Pada mulanya gua beranggapan bahawa KELABU merupakan sebuah bahan bacaan yang santai (yang gua boleh lengahkan membaca selama seminggu), namun ternyata sangkaan gua meleset sama sekali. Disetiap bab dalam novel ini terselit plot-twist yang membuatkan gua tak sabar untuk membaca bab yang seterusnya. Dan hanya dalam masa tak sampai sehari gua dah berjaya melahap kesemua 456 muka surat (ya, ini adalah novel Fixi yang terpanjang setakat ini).

Dan juga untuk menyingkatkan lagi review gua yang sedia singkat ini, gua petik kata-kata ucapan penulisnya sewaktu memberi ucapan pelancaran novelnya;

"Jika anda mengharapkan novel ini sebagai sebuah cerita cinta yang penuh suka duka, yang heronya menangis tak berhenti-henti berjurai air mata dari mula sampai penamat, mungkin novel ini adalah ia. Tapi anda akan melihat semua itu dari sudut perspektif yang berbeza." - Nadia Khan


Seperti yang gua tekankan diatas, gua bukanlah peminat tegar genre novel seperti ini, tapi selepas membacanya gua dapati gaya penulisan santainya yang berisi padat dengan pelbagai kisah drama dan konflik hidup seorang manusia dapat menyentuh hati gua. Tak pernah gua sangka perasaan suka, duka, gembira, benci, suspens, dan juga cinta boleh digabungkan menjadi sebuah cerita yang sempurna (bagi gua) yang bernama KELABU ini. Dan yang paling penting, cerita ini adalah mengenai realiti masyarakat yang berlaku setiap hari, sama ada kita sedar ataupun tidak.

KELABU merupakan satu pembacaan yang lengkap yang amat sesuai dibaca oleh semua peringkat umur (kecuali mereka yang masih percaya unicorn tu wujud), dan gua rekomenkan kepada semua untuk membacanya.

So, jangan cerita panjang. Sila dapatkan novel KELABU ini dikedai-kedai buku yang berhampiran, atau boleh juga membeli secara online di www.fixi.com.my.

Sekian,

Sekadar coretan hati.

P/S: Gua adalah manusia yang paling gembira jika novel ini berjaya difilemkan. Sama-sama kita doakan :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...