Tuesday, October 18, 2011

Hotel

Oleh kerana cerpen bersiri gua masih lagi dalam proses pembikinan, hari ni gua nak kongsi satu kisah benar yang agak menyayat hati dengan lu orang semua.

Kisah ini baru saja berlaku, di sebuah hotel yang agak terkemuka di bandaraya Kuala Lumpur yang urban lagi happening. Kisahnya adalah seperti begini:

Fakulti tempat gua study akhirnya dah bersetuju dengan proposal gua, untuk buat grand gala dinner di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Walaupun pada mulanya proposal gua adalah untuk buat dinner dan juga prom night, namun yang tang prom night tu telah di tolak mentah-mentah oleh program manager gua, kerana beliau adalah seorang yang alim serta warak. Kalau dah namanya prom night tu dah tentu lah ada tari-menari, so sebelum dia di panah petir baik di tolak dulu awal-awal  yang tang prom night tu.

Tapi, what the hell. Takde prom night pun takpe, janji gua berjaya organize sebuah event yang luar dari norma biasa di campus gua tu. Balik-balik kalau nak buat event mesti kat campus jugak, dan sampai bab makanan jugak tah apa-apa jek yang dapat. So dari satu sudut gua amat berpuas hati sebab proposal gua ni di luluskan, tanpa perlu mengeluarkan duit kopi untuk sesiapa.

Gua adalah in-charge untuk layout ballroom dan juga perihal makanan. So dari seawal 8 pagi gua dah  terpacak untuk prepare event yang grand tu, hinggalah ke petang. Cecah je pukul 5 petang pinggul gua dah rasa nak tercabut, dan pelvis gua ni macam dah terkehel 45 darjah. Tapi demi menjayakan event yang gua impikan selama ini, gua gagahkan jugak badan ni untuk memastikan ianya berjalan dengan lancar.

Jam dah menunjukkan pukul 5.30 petang, persiapan semuanya dah hampir selesai. Cuma tinggal persiapan pentas jek yang tinggal lagi sikit. Tiba-tiba gua di sapa oleh satu suara yang agak familiar dari belakang.

"Faisal, amacam preparation semua, beres?", sapa suara tersebut. Gua toleh belakang, dan suara tersebut datang dari seorang pensyarah gua yang amat gua hormati, gua dah anggap macam mak sendiri dah.

"Dah nak setel dah, madam. Tinggal sikit je lagi nak siapkan stage ni", balas gua sambil menunjukkan ke arah stage yang agak hebat hasil dari nukilan kepala otak gua. Tak main lah tiup belon gantung banyak-banyak macam birthday party, stage ciptaan gua ni adalah setanding dengan stage Academy Awards di Holywood sana.

"Bagus. Dah lah, awak balik lah bersiap dulu. Nanti karang tak sempat pulak nak melaram malam ni. And by the way, tadi Amy ada pesan yang dia ajak kita sekelas pergi rumahnya lepas event nanti. Awak nak ikut tak?", tanya madam gua sambil membetulkan pakaiannya yang ala mak datin.

"Eh, mesti lah nak madam", cantas gua dengan pantas. Gua tersenyum lebar.

Amy (bukan nama sebenar atas sebab yang obvious) adalah seorang awek se-fakulti dengan gua, yang gua memang minat gila sejak hari pertama gua jejakkan kaki ke campus. Gaya persis Kate Moss, rambut perang beralun bak Beyonce, dan bersuara husky ala-ala Tiz Zaqyah. Memang idaman gua. Dan hari ni dia nak ajak gua dan budak-budak sekelas datang ke rumahnya pulak, memang cantik. Boleh lah gua berkenalan dengan bakal parent-in-law gua. Rezeki jangan ditolak beb.

Pensyarah gua akhirnya berlalu pergi, nak balik bersiap katanya. Gua pun tak tau apa benda yang nak disiapkannya, sedangkan pakaiannya sekarang ni pun dah macam baju Elizabeth Taylor. Lantak lah sama dia.

Gua decide untuk keluar mengambil angin sebentar di pusat membeli-belah di tingkat bawah hotel tersebut sebelum bersiap. Badan memang penat nak mampus, tapi hati gua sedang berbunga gembira. Nak jumpa bakal mertua katanya. Sebuah demi sebuah kedai gua lewati tanpa menjengah masuk pun, sebab fikiran gua dah melayang ke tempat lain, tapi mulut gua tersengih macam kambing. Memang creepy kalau sesiapa yang melihatnya.

Sampai dihadapan sebuah kedai alat muzik, gua tetiba di sergah dari belakang.

"Woi gemok! Lama tak nampak kau? Apa khabar kau sekarang?"

Hati gua terbakar dengan api yang lagi marak dari kebakaran hutan di Australia. Gua panas bukan sebab di panggil "gemok", tapi sebab lamunan gua yang indah-indah belaka telah di potong oleh satu teriakan  seumpama ngauman harimau miang.

Penumbuk gua genggam kemas-kemas, gua nekad nak hayun jek pada yang si empunya suara tu. Tapi belum sempat gua nak pasang kuda-kuda, gua sedar pemilik suara tu tak lain tak bukan adalah member gua, Azrul. Member lama gua dari zaman UiTM dulu.

"Lahabau betul lu, tanggal jantung gua siot.", herdik gua pada Azrul.
"Rilek lah, aku excited jek sebab dah lama tak jumpa kau, tu yang tetiba terjerit tu."
"Haha. Betul tu. Rasa gua dah 5 tahun aku tak nampak batang hidung lu tu. Apa bikin lu sekarang?"
"Macam-macam, beb. Eh, kau busy ke? Jom lah lepak minum kejap. Banyak benda yang aku nak cerita."

Oleh kerana gua dah lama tak jumpa si Azrul tu, gua ikutkan saja kehendaknya. Gua bawa mamat tu ke sebuah restoran yang agak classy di shopping complex tersebut. Mula-mula dia taknak, tapi selepas gua cakap gua nak belanja terus dia angguk laju-laju. Apa ada hal, lagi pun hati gua masih lagi dalam keadaan yang happy. Memang beruntung lah mamat tu.

Keadaan dalam restoran tu agak cramp. Maklumlah, hari dah hampir nak senja, ramai penduduk kota yang baru balik office decide nak makan dulu sebelum pulang. Siapa yang nak mengadap traffic jam petang-petang ni, ye tak?

Gua dan Azrul terpaksa berkongsi sebuah meja panjang dengan sepasang suami isteri. Gua duduk de sebelah si suami, dan Azrul pula di sebelah si isteri. Oleh kerana masa yang tak banyak, dan gua masih lagi belum bersiap untuk event gua malam ni, jadi gua layankan je. Kongsi pun kongsilah. Gua lemparkan senyuman manis kepada si suami, dan apabila mata gua merenung kepada si isteri, mulut yang tersenyum manis tadi bertukar kepada lopongan yang besar.

Lawa beb, persis Rozita Che Wan. Si suami yang terlihat aksi tak sopan gua itu berdehem manja. Sambil buat-buat tak tahu, gua mulakan perbualan dengan Azrul sambil menghirup kopi-O yang baru gua order tadi.

Macam-macam yang kami bualkan, dari pengalaman kerja, ke cerita rumahtangga (gua belum lagi), sampai ke cerita mak janda mana pun gua tak tau. Seronok jugak dapat berbual panjang dengan mamat ni, sememangnya Azrul dan gua memang kamcing masa di UiTM dulu.

Sedang asyik berbual gua terpandang si isteri yang sedang makan di sebelah Azrul. Tangannya masih memegang sudu dan garpu, tetapi kepalanya yang tertunduk sedikit demi sedikit menyenget ke arah Azrul. Gua pelik, si isteri ni nak curi dengar perbualan kami ke? Ataupun dia dah tangkap syok dengan Azrul ni? Lahanat betul.

Gua perhatikan member gua Azrul yang sedang kembang-kuncupkan hidungnya. Pipinya merah. Bangga lettew. Tapi makin lama gua lihat si isteri, makin pelik gua rasa. Gua toleh pada si suami tapi dia buat muka toya.

Pandangan gua beralih kembali kepada Azrul yang sedang menghirup fresh orange. Gua lihat mukanya semakin merah. Tetiba gua perasan Azrul sedang memberi signal dengan matanya, menyuruh gua melihat gelagat si isteri disebelahnya tu. Cheh, kerek betul mamat ni. Dah lah tak hensem, macam mana lah klon Rozita Che Wan ni boleh minat kat dia pulak?

Namun setelah kali ke-lima gua halakan pandangan kepada si isteri, kepala otak gua mula suspek sesuatu. Gua pandang pada si suami, dan gua dapat lihat di muka seposennya tu sebenarnya sedang mengalir air mata nipis. Dan tak semena-mena member gua Azrul ketawa terbahak-bahak berseta hilaian yang macam pontianak.

Dalam hilaian ketawa Azrul tu sayup-sayup gua dapat dengar dengkuran si isteri, berselang seli dengan titisan air liur basi diatas meja makan.

Si suami masih meneruskan makan dengan muka toya, kali ini dengan kadar yang laju. Gua akhirnya join sama dengan si Azrul.

Begitulah kisah benar yang gua nak ceritakan pada lu orang semua. Kisah ni bukan saja 100% benar, tapi juga 100% hampeh. 

Kenapa hampeh lu tanya?

Sebab dalam 27 tahun gua hidup dalam dunia, ni lah kali pertama gua dapat mimpi yang macam ni punya celaka.

Sekian, hanya sekadar coretan hati.

Gambar ihsan dari Google Inc.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...