Thursday, October 6, 2011

Bila Bulan Terbelah Dua (Prolog)

"Bila hati dah jatuh cinta, makan garam pun lu rasa gula"

Pertengahan 2005, musim panas. Tapi musim panas tu dekat negara Eropah, kat Malaysia ni panas lembab, panas lembab, sampai otak aku pun naik sembab.

Aku masih lagi berdiri di tepi penjuru tangga Stesen LRT Masjid Jamek. Masa tu masih lagi dipanggil Sistem Transit Aliran Ringan (STAR), tak macam RapidKL sekarang. Rokok Dunhill menthol yang ke-5 aku nyalakan, asapnya aku tarik dalam-dalam dan aku humbankan ke langit. Sambil mengusap-usap perut yang sedia mainkan lagu raggae.

Segenap jenis manusia berselirat keliling aku, tak kira bangsa tak kira usia bersimpang siur seperti semut belakang rumah aku yang baru lepas ku simbah air sabun. Masing-masing seperti mengejarkan sesuatu, ghairah seperti singa yang dah 3 minggu tak jamah daging. Aku terpandang seorang mamat persis kerani cabuk sedang menyeret kasut kulit Bonia-nya dikaki lima, cuba membersihkan sisa chewing gum yang dipijaknya sewaktu berlari-lari anak turun dari stesen LRT tu. Entah malaun mana yang amat kurang sivik membuang chewing gum merata, macam la susah sangat nak buang menatang tu dalam tong sampah. Macam gampang lu punya perangai.

Kesian jugak aku tengok mamat tu, mesti menyumpah-nyumpah dalam hati. Dah la penat-penat bekerja seharian, mengadap kerja yang menimbun, makan pun belum tentu sempat. Tup-tup nak balik boleh kena pedajal macam ni pulak. Memang celaka betul hari dia.

Tapi hari aku sebenarnya lagi celaka.

Jam G-Shock yang aku beli di Jalan Masjid India dah menunjukkan pukul 7.30 malam. Ah sial, dah 3 jam rupanya aku berdiri kat sini. Memang dah jadi hobi masa lapang aku, duduk tempat yang crowded sasmbil perhatikan orang sekeliling. Aku pun tak tau kenapa aku ada hobi yang pelik gila babeng macam ni, kekadang aku sanggup keluar masuk kelab-kelab disekitar Bukit Bintang dan Sri Hartamas semata-mata nak tengok orang. Gua bukan minat pun nak tergelek-gelek dalam kelab tu, tapi aku ada fetish dalam bidang observation ni. Ketagih macam mat fit ketagih daun Israel. Ketagih tengok aksi dan gelagat penghuni bandaraya KL yang serba urban ni. Dalam riuh rendah diaorang aku temui kedamaian aku. Tu la hobi aku, pelik kan?

Jam menunjukkan pukul 8.15 malam. "Dah time nak balik dah ni", ujar gua dalam hati. Karang kalau aku terlepas bas Intrakota bernombor 21C yang menuju Taman Tun tu konfem makcik aku bambu aku kaw-kaw. Aku halakan pandangan ke langit malam. Aku hembuskan lagi se-das asap rokok Dunhill menthol sambil mengeluh. Dalam keriuhan kota urban, dibanjiri sinar neon yang menyilaukan mata, aku terlihat sang bulan sayup dilangit malam. Dan hatiku mula teringat kembali janji-janji dia, yang dia bisikkan ke telingaku saat aku rebahkan kepala ke ribanya. Katanya padaku;

"Hanya apabila bulan terbelah dua, cinta kita akan berakhir disana."

Dan air mata jantanku pun mula mengalir. Memang celaka betul hari ini.


Bersambung...


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...