Sunday, October 30, 2011

MM (a.k.a Magical Morning)

It's quiet.
Only the sound of a cicada busting his ass.
And occasionally the sound of a train bustling on the nearby railway.
Or the leaves rustling with the coming breeze.

It's quiet, and cold.
The air is surprisingly fresh.
There's a smell of peace in the air.
Alongside with the smell of burning cocoa from a nearby factory.

It's quiet, and calm.
Not a soul can be seen, not a movement can be found.
But a cat just jumped from the roof.
And it startled me around.

It's really quiet.
And the sky is so clear.
The stars are peeking out among the clouds.
But then maybe it's just an airplane flying about.

Yes, it's quiet.
But I can hear a moaning sound.
I didn't dare to think who the hell is making those.
Whether my neighbor, a ghost, or a hound.

It's damn quiet.
But I like it like this.
I can really use some company, though.
To go through this kind of bliss.

It is quiet.
But I can see myself grinning.
'Cause tomorrow will be a new day.
Beginning with this magical morning.

Good morning.

Image courtesy from Google Inc.

Tuesday, October 18, 2011

Hotel

Oleh kerana cerpen bersiri gua masih lagi dalam proses pembikinan, hari ni gua nak kongsi satu kisah benar yang agak menyayat hati dengan lu orang semua.

Kisah ini baru saja berlaku, di sebuah hotel yang agak terkemuka di bandaraya Kuala Lumpur yang urban lagi happening. Kisahnya adalah seperti begini:

Fakulti tempat gua study akhirnya dah bersetuju dengan proposal gua, untuk buat grand gala dinner di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Walaupun pada mulanya proposal gua adalah untuk buat dinner dan juga prom night, namun yang tang prom night tu telah di tolak mentah-mentah oleh program manager gua, kerana beliau adalah seorang yang alim serta warak. Kalau dah namanya prom night tu dah tentu lah ada tari-menari, so sebelum dia di panah petir baik di tolak dulu awal-awal  yang tang prom night tu.

Tapi, what the hell. Takde prom night pun takpe, janji gua berjaya organize sebuah event yang luar dari norma biasa di campus gua tu. Balik-balik kalau nak buat event mesti kat campus jugak, dan sampai bab makanan jugak tah apa-apa jek yang dapat. So dari satu sudut gua amat berpuas hati sebab proposal gua ni di luluskan, tanpa perlu mengeluarkan duit kopi untuk sesiapa.

Gua adalah in-charge untuk layout ballroom dan juga perihal makanan. So dari seawal 8 pagi gua dah  terpacak untuk prepare event yang grand tu, hinggalah ke petang. Cecah je pukul 5 petang pinggul gua dah rasa nak tercabut, dan pelvis gua ni macam dah terkehel 45 darjah. Tapi demi menjayakan event yang gua impikan selama ini, gua gagahkan jugak badan ni untuk memastikan ianya berjalan dengan lancar.

Jam dah menunjukkan pukul 5.30 petang, persiapan semuanya dah hampir selesai. Cuma tinggal persiapan pentas jek yang tinggal lagi sikit. Tiba-tiba gua di sapa oleh satu suara yang agak familiar dari belakang.

"Faisal, amacam preparation semua, beres?", sapa suara tersebut. Gua toleh belakang, dan suara tersebut datang dari seorang pensyarah gua yang amat gua hormati, gua dah anggap macam mak sendiri dah.

"Dah nak setel dah, madam. Tinggal sikit je lagi nak siapkan stage ni", balas gua sambil menunjukkan ke arah stage yang agak hebat hasil dari nukilan kepala otak gua. Tak main lah tiup belon gantung banyak-banyak macam birthday party, stage ciptaan gua ni adalah setanding dengan stage Academy Awards di Holywood sana.

"Bagus. Dah lah, awak balik lah bersiap dulu. Nanti karang tak sempat pulak nak melaram malam ni. And by the way, tadi Amy ada pesan yang dia ajak kita sekelas pergi rumahnya lepas event nanti. Awak nak ikut tak?", tanya madam gua sambil membetulkan pakaiannya yang ala mak datin.

"Eh, mesti lah nak madam", cantas gua dengan pantas. Gua tersenyum lebar.

Amy (bukan nama sebenar atas sebab yang obvious) adalah seorang awek se-fakulti dengan gua, yang gua memang minat gila sejak hari pertama gua jejakkan kaki ke campus. Gaya persis Kate Moss, rambut perang beralun bak Beyonce, dan bersuara husky ala-ala Tiz Zaqyah. Memang idaman gua. Dan hari ni dia nak ajak gua dan budak-budak sekelas datang ke rumahnya pulak, memang cantik. Boleh lah gua berkenalan dengan bakal parent-in-law gua. Rezeki jangan ditolak beb.

Pensyarah gua akhirnya berlalu pergi, nak balik bersiap katanya. Gua pun tak tau apa benda yang nak disiapkannya, sedangkan pakaiannya sekarang ni pun dah macam baju Elizabeth Taylor. Lantak lah sama dia.

Gua decide untuk keluar mengambil angin sebentar di pusat membeli-belah di tingkat bawah hotel tersebut sebelum bersiap. Badan memang penat nak mampus, tapi hati gua sedang berbunga gembira. Nak jumpa bakal mertua katanya. Sebuah demi sebuah kedai gua lewati tanpa menjengah masuk pun, sebab fikiran gua dah melayang ke tempat lain, tapi mulut gua tersengih macam kambing. Memang creepy kalau sesiapa yang melihatnya.

Sampai dihadapan sebuah kedai alat muzik, gua tetiba di sergah dari belakang.

"Woi gemok! Lama tak nampak kau? Apa khabar kau sekarang?"

Hati gua terbakar dengan api yang lagi marak dari kebakaran hutan di Australia. Gua panas bukan sebab di panggil "gemok", tapi sebab lamunan gua yang indah-indah belaka telah di potong oleh satu teriakan  seumpama ngauman harimau miang.

Penumbuk gua genggam kemas-kemas, gua nekad nak hayun jek pada yang si empunya suara tu. Tapi belum sempat gua nak pasang kuda-kuda, gua sedar pemilik suara tu tak lain tak bukan adalah member gua, Azrul. Member lama gua dari zaman UiTM dulu.

"Lahabau betul lu, tanggal jantung gua siot.", herdik gua pada Azrul.
"Rilek lah, aku excited jek sebab dah lama tak jumpa kau, tu yang tetiba terjerit tu."
"Haha. Betul tu. Rasa gua dah 5 tahun aku tak nampak batang hidung lu tu. Apa bikin lu sekarang?"
"Macam-macam, beb. Eh, kau busy ke? Jom lah lepak minum kejap. Banyak benda yang aku nak cerita."

Oleh kerana gua dah lama tak jumpa si Azrul tu, gua ikutkan saja kehendaknya. Gua bawa mamat tu ke sebuah restoran yang agak classy di shopping complex tersebut. Mula-mula dia taknak, tapi selepas gua cakap gua nak belanja terus dia angguk laju-laju. Apa ada hal, lagi pun hati gua masih lagi dalam keadaan yang happy. Memang beruntung lah mamat tu.

Keadaan dalam restoran tu agak cramp. Maklumlah, hari dah hampir nak senja, ramai penduduk kota yang baru balik office decide nak makan dulu sebelum pulang. Siapa yang nak mengadap traffic jam petang-petang ni, ye tak?

Gua dan Azrul terpaksa berkongsi sebuah meja panjang dengan sepasang suami isteri. Gua duduk de sebelah si suami, dan Azrul pula di sebelah si isteri. Oleh kerana masa yang tak banyak, dan gua masih lagi belum bersiap untuk event gua malam ni, jadi gua layankan je. Kongsi pun kongsilah. Gua lemparkan senyuman manis kepada si suami, dan apabila mata gua merenung kepada si isteri, mulut yang tersenyum manis tadi bertukar kepada lopongan yang besar.

Lawa beb, persis Rozita Che Wan. Si suami yang terlihat aksi tak sopan gua itu berdehem manja. Sambil buat-buat tak tahu, gua mulakan perbualan dengan Azrul sambil menghirup kopi-O yang baru gua order tadi.

Macam-macam yang kami bualkan, dari pengalaman kerja, ke cerita rumahtangga (gua belum lagi), sampai ke cerita mak janda mana pun gua tak tau. Seronok jugak dapat berbual panjang dengan mamat ni, sememangnya Azrul dan gua memang kamcing masa di UiTM dulu.

Sedang asyik berbual gua terpandang si isteri yang sedang makan di sebelah Azrul. Tangannya masih memegang sudu dan garpu, tetapi kepalanya yang tertunduk sedikit demi sedikit menyenget ke arah Azrul. Gua pelik, si isteri ni nak curi dengar perbualan kami ke? Ataupun dia dah tangkap syok dengan Azrul ni? Lahanat betul.

Gua perhatikan member gua Azrul yang sedang kembang-kuncupkan hidungnya. Pipinya merah. Bangga lettew. Tapi makin lama gua lihat si isteri, makin pelik gua rasa. Gua toleh pada si suami tapi dia buat muka toya.

Pandangan gua beralih kembali kepada Azrul yang sedang menghirup fresh orange. Gua lihat mukanya semakin merah. Tetiba gua perasan Azrul sedang memberi signal dengan matanya, menyuruh gua melihat gelagat si isteri disebelahnya tu. Cheh, kerek betul mamat ni. Dah lah tak hensem, macam mana lah klon Rozita Che Wan ni boleh minat kat dia pulak?

Namun setelah kali ke-lima gua halakan pandangan kepada si isteri, kepala otak gua mula suspek sesuatu. Gua pandang pada si suami, dan gua dapat lihat di muka seposennya tu sebenarnya sedang mengalir air mata nipis. Dan tak semena-mena member gua Azrul ketawa terbahak-bahak berseta hilaian yang macam pontianak.

Dalam hilaian ketawa Azrul tu sayup-sayup gua dapat dengar dengkuran si isteri, berselang seli dengan titisan air liur basi diatas meja makan.

Si suami masih meneruskan makan dengan muka toya, kali ini dengan kadar yang laju. Gua akhirnya join sama dengan si Azrul.

Begitulah kisah benar yang gua nak ceritakan pada lu orang semua. Kisah ni bukan saja 100% benar, tapi juga 100% hampeh. 

Kenapa hampeh lu tanya?

Sebab dalam 27 tahun gua hidup dalam dunia, ni lah kali pertama gua dapat mimpi yang macam ni punya celaka.

Sekian, hanya sekadar coretan hati.

Gambar ihsan dari Google Inc.

Sunday, October 16, 2011

Bulan Untuk Lina

Kala mereka riang tertawa,
Kau selubung air mata di balik senyumanmu.

Kala mereka menjamu selera,
Kau jamu dirimu dengan dan hati yang luka.

Kala dunia menghamburkan kekejaman kepadamu,
Kau tetap tegak berdiri tanpa silu.

Dan kau terus bertarung,
Demi dunia yang bukan lagi milikmu,
Demi maruah yang bukan lagi hakmu,
Demi masa depan yang belum pasti ada,
Demi cinta yang takkan kekal selamanya,
Tapi demi aku kau teruskan jua.

Pandanganmu hanya kosong belaka,
Tatkala kau merenung wajah bulan dibalik jendela menara,
Mengharap ia kan jatuh ke riba,
Tapi hanya gelap malam memenuhi suasana.

Kalau aku punya daya,
Akan ku lepaskan kau dari menara usangmu.

Kalau ku punya daya,
Akan ku tepis semua ludah mereka itu.

Kalau ku punya daya,
Akan ku sembahkan bulan itu kepadamu.

Namun bila realiti meragut mimpi,
Tatkala impian berderai ditangis hiba,
Apa yang ku mampu hanya setakat ini,
Telah ku tewas ditentang dunia.

Tapi jika berpeluang lagi,
Akan ku ulang semula,
Akan ku jejak kembali mimpi,
Dan membawa bulan untukmu, Lina.



Selamat hari lahir buat Elina Zulka, 16 Oktober 2011.

Thursday, October 13, 2011

Fire and Forget - Ada Berani?

Gua nak rehat kejap dari tulis cerpen-cerpen bagai ni. Hari ni gua nak kupas sikit tentang topik yang agak hangat, tapi ramai yang tak nak ngaku. Kunun-kunun nanti jatuh la lu orang punya saham. Tapi still, kalau tak di setelkan ini masalah, mentang tu akan membesar dan melekat sampai bila-bila persis cagu dijari kaki yang tak berbasuh.

Siapa yang tak pernah jatuh cinta, kan? Dari seganas-ganas Adolf Hitler sehingga selembut-lembut Jaafar Onn sekalipun pernah merasakannya. Bayangkan lu ternampak gadis/jejaka yang lu impikan selama ini, berambut mayang mengurai, pipi bak telur itik dikupas-kupas, pinggang ramping bak kerengga, tinggi melampai bak model keluaran dari Milan. Dan hati lu sudah jatuh cinta lagi pantas dari kejatuhan nilai Ringgit Malaysia apabila di sabotaj George Soros. Nak-nak kalau yang korang minat tu satu tempat kerja dengan lu atau meniaga kuih lompang betul-betul depan pintu pagar rumah lu.

Yang menjadi masalahnya lu orang tak berapa nak cukup hormon testosteron atau estrogen untuk bagitau yang lu suka kat dia, betul tak?

Antara sebab-sebab popular yang selalu dijadikan alasan dalam medula oblongata lu orang untuk TIDAK  meluahkan hati dan perasaan pada sang gadis/jejaka idaman:

"Gua ni tak hensem mana, takkan lah dia boleh syok kat gua balik?"

"Eh, mesti dia dah ada kapel kan? Orang macam dia tu takkan lah single lagi."

"Karang kalau gua luahkan perasaan kalau dia lempang macam mana?

"Saya ni pemalu orangnya."

"Ahh. Single is always better lah."

Dan di situlah akan bermulanya masalah yang akan menghantui hidup lu orang sampai bila-bila. Di sini gua offer satu jalan penyelesaian yang teramat sangat mudah dalam bentuk dua suku kata; TERUS TERANG.



Yes. Terus terang saja pada sang gadis/jejaka idaman lu orang tu, kalau boleh lagi lekas lagi bagus. Campakkan alasan-alasan remeh yang bermain dalam otak tu kedalam parit, cari keberanian dalam jiwa untuk meluahkan segalanya. But a word of advice, jangan lah lu orang main terjah jek, memang makan penampor lah jawabnya.

Do it gracefully, a step at a time. Mulakan salam perkenalan, kemudian pelan-pelan lu orang kasi cucuk itu jarum. And only when the timing is right, go for the kill! Just let go, macam pemberontak Afghanistan guna misil Stinger untuk tembak helikopter Hind-D milik Russia masa Perang Afghan dulu, just fire and forget.

Why, you ask? Kat sini gua senaraikan beberapa sebab kukuh untuk lu orang berterus terang.

1. You got nothing to lose.

Sebenarnya ramai orang takut untuk berterus terang sebab takut dek keputusan yang lu orang akan terima, dan sebenarnya lu orang tak tau lagi what's the result gonna be, kan? Lepas kan je semua yang terbuku di dada, 'cause you got nothing to lose but a lot to gain. Walau ayat yang lu orang ada tak sehebat ayat Romeo mahupun Kasyah, but you gotta at least try your luck. Bak kata orang putih, belum try belum tau, ye dak? Karang kalau dah dapat lu orang jugak yang seret satu kampung nak tunjuk kat orang.

2. Fikir lah yang positif!

Sebenarnya lu orang selalu fikirkan benda yang belum lagi berlaku, dan maybe takkan berlaku. Belum start kereta lu dah takut eksiden. Sentiasa tanam dalam kranium lu orang tu fikiran yang positif. Bayangkan kalau dia yang lu impikan tu akhirnya dalam genggaman, alangkah indahnya dunia masa tu. Jangan sekali-kali bayangkan benda negatif, nak-nak dalam situasi yang sebegini.

3. It's worth the effort. Berbaloi-baloi!

Adakah lu orang nak tunggu sampai buah hati pengarang jantung lu dikebas orang? Memang melopong lah jawabnya. Time tu nangis keluar darah putih sekalipun dah tarak guna. So, make your move, and do it quickly. Kalau si dia tu memang yang korang nantikan selama ni, sanggup tak kahwin sebab memilih punya pasal, so memang berbaloi sangat lah lu orang punya effort tu.

4. A reason to move on.

Kalaulah pulak ditakdir memang lu kena reject kaw-kaw lepas lu luahkan hati, so what? Menangis lah berapa baldi yang lu orang nak nangis, and then move on. Tak guna kalau takat lu simpan dalam hati selama bertahun-tahun, lepas tu kena kebas terus menonggeng. Baik luahkan, kalau dah di reject tu lu orang dah boleh atur langkah untuk terus maju ke depan. Life must go on, right?

4. Jangan jadik penakut.

And last but not least, please lah jangan jadik penakut. Lu orang merempit sampai langgar road-block boleh pulak, nak ngorat awek lu orang chicken ke? Bukan gua nak mengata, tapi kalau benda macam ni lu orang tak berani nak hadap, banyak lagi benda yang 800 kali ganda lagi menakutkan yang akan lu tempuh sepanjang hayat. So kalu tak berani sekarang, sampai kiamat lah lu kecut.

Kesimpulannya disini, benda yang baik takkan datang bergolek. Kalau nak kenalah usaha sikit, kan? Perasaan yang lu orang ada pada sang gadis/jejaka idaman tu baiklah lu orang luahkan je, jangan kemam lama-lama. Sebab esok lusa, badan yang merana, hati lu terbelah dua.

Jadi ingat, just fire and forget!

Wallahualam. Sekadar coretan hati.


Gambar ihsan dari Google Inc.

Monday, October 10, 2011

Bila Bulan Terbelah Dua - Aku Dan Bulan (Bahagian 1)

"I believe that two people are connected at the heart, and it doesn't matter what you do, or who you are, or where you live; there are no boundaries or barrier if two people are destined to be together."
- Julia Roberts

Pertengahan 2005, 8.30 malam.

Destinasiku yang seterusnya adalah Central Market. Walaupun ada jalan yang lebih senang ke sana yakni dengan menaiki tren, tapi aku memutuskan untuk berjalan kaki saja dari Masjid Jamek. Aku ni bukan manusia yang suka nak rushing-rushing, walau aku tau ni kejap lagi sampai rumah konfem aku kena bambu kaw-kaw dengan aunty sebab untuk kesekian kalinya aku balik lambat lagi. 


Lantaklah. Hari ni hari celaka gua. Hati gua memang tak tenteram tahap gaban. Dan aku rasa angin malam yang nyaman diselang-seli dengan asap kenderaan ditengah kota KL yang menyesakkan dada ni sedikit sebanyak dapat menenangkan jiwa. Sambil-sambil tu dapat jugak aku menghiburkan hati melihat awek-awek gojes beratur menunggu teksi di depan Pertama Kompleks. Mendengar petikan gitar pemuzik jalanan di sekitar kaki lima Central Market. Memerhatikan gelagat pelancong asing cuba bertanyakan arah dengan seorang apek menjual buah umpama itik serati cuba berbicara dengan seekor platypus. Melihat gelagat penghuni kota bershopping sakan di Jalan Petaling. Buat seketika jiwa aku terasa tenang.

Di selekoh Jalan Petaling, aku terpaksa memujuk diri yang tak berapa nak fit ni untuk berlari pecut sekilo menuju ke arah bus stop bersebelahan Stesen LRT Central Market. 

Nyaris-nyaris terlepas. Kalau terlepas tadi memang terbang la RM20 naik cab

Kaki aku melangkah lesu menaiki bas Intrakota bernombor 21C yang bakal menuju ke Taman Tun. Pancit seyh, peluh berjurai-jurai umpama baru keluar shower. Wang tambang RM1.90 aku campakkan dengan bersahaja ke dalam peti tambang, dan aku perasan driver bas tu menjeling sinis ke arah aku. Mungkin dia jeling sebab pelik nampak aku berlari pecut umpama beruang grizzly kejar ikan salmon, atau mungkin pelik tengok baju aku yang kuyup sedangkan kat luar tu langsung tak hujan. Malas aku nak amik port. Banyak lagi benda yang bermain dalam medula oblongata aku ni. Malam ni penghuni bas agak kurang, jadi dapat la aku pilih seat yang paling best skali, yakni bawah air-cond.


Air-cond di atas kepala. Aku sumbatkan earphone dalam-dalam ke lubang telinga. Perlahan-lahan mata aku terpejam apabila bas mula meredahi malam.

Campur tolak traffic jam dan tempoh aku menapak lepas turun bas tadi (gua terover-slept lah pulak tadi), tepat jam 10 malam aku sampai rumah. Dengan skill ninja yang aku ada, aku cuba menyelinap masuk ke dalam rumah. Maklumlah orang KL, pukul 10 konfem dah membuta punya, nak-nak kalau hari bekerja. Dan aku tak nak kejutkan aunty aku yang dah tidur tu (yeke?). Tetapi skill ninja aku berjaya dipatahkan sebaik sahaja aku nak melangkah masuk ke bilik tidur. Nampak sangat memang tak terer.

"Rizal, pukul berapa kau balik ni?", tanya aunty aku persis orang tak beli jam.
"Zal hari ni lambat sikit, banyak interview siang tadi."
"So macam mana, dapat ke tidak?"
"Tunggu orang tu call lah. Kalau ada rezeki tu adalah agaknya nanti". Sedas ayat cliche aku bagi.
"Tulah kau, dulu ada peluang study kau buat main-main. Sekarang nak cari kerja kan dah payah. Nak harap mak bapak kau tu memang ke parit lah jawabnya. Nasib baik aku ni hidup lagi, kalau aku dah mati esok macam mana?"

Wah, aunty aku dah nak mulakan ceramah motivasinya. Aku dapat kesan telinga aku ni dah mula nak keluarkan nanah. Dengan pantas aku memintas mukadimah aunty aku sebelum dia mengupas topik ceramahnya dengan lebih lanjut. Ceramah yang aku rasa Ustaz Ismail Kamus pun tak berani nak hadap.

"Err, Zal masuk tidur dulu ye, aunty. Esok pagi Zal ada interview lagi. Selamat malam aunty."
"Ok lah, pergi lah tidur sana. Esok nanti aunty tinggalkan breakfast atas meja macam biasa."
"Thanks aunty, good night".


Aunty Izah adalah seorang pensyarah bidang perniagaan di Universiti Malaya. Selain sibuk dengan tugasan harian, aunty juga selalu outstation menghadiri simposium atau konferens yang aku pun tak berapa nak tau atau tak nak amik tau. So dah menjadi tugas aku untuk menjadi bibik sambilan menjaga rumahnya tu. At least tu je yang dapat aku lakukan untuk membalas budinya membesarkan aku, tanggung makan dan pakai aku selama ini. And by the way, aunty aku ni seorang janda, takde anak. Tiga kali marriage tapi still tak menjadi. Takde jodoh agaknya. Dan aku ni memang dah dia anggap macam anak kandung dia sendiri.

Aku humbankan diri ke katil tanpa bersalin pakaian. Badan ni letih semacam je, so aku decide nak tidur je terus. Baru je nak datang mood tidur, handphone aku berdering kencang. Potong stim betul.

Gua perhati betul-betul nama yang tertera pada skrin handphone. Member aku Hairi. Member yang stick dengan aku dari zaman aku di UiTM sampai la sekarang. Member yang susah senang sama-sama, makan megi pun kekadang aku kongsi semangkuk dengan dia, rokok pun siap pancung dua. Walaupun sebenarnya dia tu senior aku, kami kamcing dah macam adik-beradik, tapi aku hensem sikit dari dia.

"Mana, bro?"
"Rumah gua lah, mana lagi. Apa kes call gua ni?"
"Takkan gua nak call member sendiri pun dah tak boleh kot. Yela, gua sedar diri gua ni siapa. Insan hina yang kerdil je dalam dunia ni. Jijik."
"Cheh, lu tak payah la nak touching-touching sangat la. Geli sial bulu ketiak aku."
"Jom turun Cheras. Lepak-lepak dengan gua. Gua baru lepas hantar partition board kat AmBank Jalan Tun Razak, lusa dah start projek baru bapak gua kat sana. Gua tengah bosan gila ni. Jom la."
"Lu nak datang amik gua ke?"
"Kereta bapak gua pakai. Lu naik la cab datang sini."
"Tambang cab tu aku nak bayar pakai apa plak? Bulu hidung? Gua dah kering dah ni. Motor lu mana?"
"Kau gila? Nanti orang tengok aku dah macam bawak beruang kat belakang."
"Mulut lu dengan kaki gua ni agak-agak macam sepadan je kan? Malas la bro, hari ni gua letih berjalan."


Bukannya aku tak tau pesen mamat ni, karang kalau aku ke sana konfem dia ajak ke cybercafe peberet dia kat Pandan Mewah, jadi peneman main game sampai subuh.

"Mesti siang tadi lu pergi sana lagi kan? Rajin betul lu. Kalau gua memang sorry la."
"Apa boleh buat, selagi aku tak jumpa dia selagi tu lah aku bertandang rumah sis aku tu."
"Sampai bila?"
"Ntah."
"Sampai kiamat?"
"Maybe kot."
"Udah-udah la tu, Zal. Aku rasa dah sampai masa kau move-on. Aku tak rasa dia akan balik sana lagi. Daripada kau menipu aunty kau tu, aku rasa baik kau tolong aku lagi bagus. At least dapat jugak duit, walaupun tak seberapa mana. Interview la konon. Tak baik menipu orang tua, bro."
"Bro, kalau aku nak dengar ceramah baik aku dengar aunty aku tu je yang berleter. Tak payah kau habiskan kredit untuk call aku semata nak bagi nasihat yang kau pun tau aku tak amik port langsung."
"Tapi aku kan pakai bill."
"Lu nak loyar buruk la pulak dengan gua kan. Penampor nak?"
"Haha. Aku nasihat je bro, sape lagi yang nak nasihat kau tu kalau bukan aku. Aku amik berat tau ni."
"Hmmm. Ya, aku tau."
"Haish. Dah la, lu gi la tidur sana. Esok kalau lu free lu datang ofis gua. Lepas gua habis kerja kita lepak mapley peberet lu tu."
"Insyaallah. Aku tak janji tau."
"Ye la, aku paham. Selamat malam, duhai sahabatku."
"Geli la sial. Gi berambus sana."

Handphone aku campak ke tepi. Mata aku tepat merenung ke kipas siling yang sedang berputar ligat. Dalam kepala aku terkenang balik apa yang aunty ceramahkan tadi. Memang ada benarnya jugak kata-kata dia. Kalau dulu aku tak main-main masa di UiTM dulu, mesti aku dah ada kerjaya macam kawan-kawan yang lain. Diaorang semua tinggal pikir nak kahwin je dengan awek masing-masing. Dan aku ni pulak kais pagi makan pagi, kais petang tak makan langsung. Tu pun sebab kais yang pagi punya masih lagi berbelen. Nasib baik ada aunty aku ni yang sudi menjaga makan dan pakai aku, siap bagi tempat tinggal lagi gitu. Mak bapak aku? Huh, malas aku nak pikir.

Pandangan aku masih tepat merenung kipas yang serba berhabuk, tapi fikiran aku dah mula melayang. Melayang kembali ke masa sebelum semua yang melanda diriku ini bermula. Di saat manusia bernama Rizal ni masih gah dan ghairah mahu menerokai dunia, belum mengenal lagi erti cinta dan air mata.

Kembali ke masa aku mula mengenalinya. Kala aku dan bulan masih lagi bersama.


Bersambung...

Friday, October 7, 2011

Bila Bulan Terbelah Dua (Pra-muka)

Present day, 2011.

Laptop Gateway aku yang dah berumur ni aku rasa dah makin lembab. Baru semalam aku buang segala cerita satu kaler yang dah bertahun bersarang dalam menatang ni, takkan lembab lagi kot.

Ah, tak boleh jadik ni.

Aku periksa satu demi satu folder dalam laptop usang ni, kot-kot kalau ada file yang tak guna yang boleh aku lempar ke dalam recycle bin.

Hey now, what do we have here?

Terlintas kat mata aku satu word file yang dah lama aku tak nampak. Kenapa aku tak nampak korang tanya? Dah tentu lah sebab aku hidden-kan.

Kenapa aku hidden-kan korang tanya lagi?

Firstly dan yang paling utama adalah title-nya: "Sonata Hati Yang Sepi". Macam gampang dia punya title. Kalau member-member aku terjumpa menatang ni konfem aku kena troll  sampai kiamat.

Sebab yang keduanya adalah kerana dalam word file ni adalah catatan kisah hidup aku, yang aku taip macam nak mampus 3 tahun lepas. Ala-ala macam virtual diary la, tak pun macam blog yang aku sorang je yang boleh baca. Waktu aku start tulis menatang ni aku dalam keadaan yang depressed gila babi, yang kalau tersentap sikit je konfem aku dah kena humban masuk Tanjung Rambutan. Tapi keadaan aku sikit demi sikit dah berubah, dan seiring dengan perubahan aku tu, aku dah mula berhenti menulis.

Aku teringat balik kata-kata akak angkat aku, Kak Ani.

"Cerita kau ni sedih dik, akak rasa kalau dibuat filem silap hari cerita Sembilu Yusuf Haslam pun kalah."

Disebabkan kata-kata Kak Ani tu yang membuatkan aku mula menulis. Konon-konon nak dijadikan kisah klasik untuk masa depan. Ala-ala Shakespear's Romeo and Juliet, atau pun The Divine Comedy karya Dante Alighieri, paling tidak pun macam cerita Ahadiat Akashah, Aku Budak Setan. Tapi memang dah resmi manusia, hangat-hangat taik ayam, tak sampai 3 bulan aku  dah stop. Macam gampang.

Bait-bait kata yang ada dalam coretan aku tu aku baca satu persatu. Aku protes sorang-sorang, memang tak boleh blah. Kalau diberi pada budak darjah dua suruh nilaikan konfem dia berguling terbahak-bahak, kemudian dia ronyok-ronyok dan campak dalam parit. 

Habis 25 muka surat aku mengeluh panjang. Kalau boleh aku nak lupakan kisah yang dah lepas, yang dah menguji aku dari segi fizikal dan mental ke tahap yang amat ekstrim. Sampai aku hampir gila. Aku nak lupakan semua tu. 

Tapi jauh disudut hati aku tahu, semua tu membentuk aku kepada diri aku yang ada hari ni. Bak kat mat salleh;


"What doesn't kills you, will only make you stronger"

So, aku nekad. Aku nak sambung semula apa yang aku dah tinggalkan dulu. Aku nak kembali menulis. Tapi dah tentu aku takkan guna balik coretan aku yang tahap sampah tu bulat-bulat. Edit sikit apa yang ada, dan tambah dengan yang baru. Aku teringat pulak kata-kata pensyarah aku di UiTM dulu-dulu;


"Those who can't do, they teach. And those who can't teach, they write."

Lepas sedas dua pekena rokok menthol, aku dah ready nak berkarya. Aku nak namakan semula kisah ni.

Bila Bulan Terbelah Dua.

Aku mula menaip tanpa henti, seakan malam takkan habis hari ini.


Nota Kaki:

Karya ini adalah 50 peratus berdasarkan kisah benar. Kenapa 50 peratus? Sebab nama watak dan sesetengah lokasi aku terpaksa ubah, sebab nak jaga hati sesama manusia. Hati manusia memang payah nak jaga, kan? Disebabkan itu juga aku nak mintak maaf terlebih dahulu kalau cerita ini menyinggung perasaan mana-mana pihak, sama ada yang masih hidup atau yang dah meninggal dunia. Sesungguhnya ia sekadar coretan hati.

Thursday, October 6, 2011

Bila Bulan Terbelah Dua (Prolog)

"Bila hati dah jatuh cinta, makan garam pun lu rasa gula"

Pertengahan 2005, musim panas. Tapi musim panas tu dekat negara Eropah, kat Malaysia ni panas lembab, panas lembab, sampai otak aku pun naik sembab.

Aku masih lagi berdiri di tepi penjuru tangga Stesen LRT Masjid Jamek. Masa tu masih lagi dipanggil Sistem Transit Aliran Ringan (STAR), tak macam RapidKL sekarang. Rokok Dunhill menthol yang ke-5 aku nyalakan, asapnya aku tarik dalam-dalam dan aku humbankan ke langit. Sambil mengusap-usap perut yang sedia mainkan lagu raggae.

Segenap jenis manusia berselirat keliling aku, tak kira bangsa tak kira usia bersimpang siur seperti semut belakang rumah aku yang baru lepas ku simbah air sabun. Masing-masing seperti mengejarkan sesuatu, ghairah seperti singa yang dah 3 minggu tak jamah daging. Aku terpandang seorang mamat persis kerani cabuk sedang menyeret kasut kulit Bonia-nya dikaki lima, cuba membersihkan sisa chewing gum yang dipijaknya sewaktu berlari-lari anak turun dari stesen LRT tu. Entah malaun mana yang amat kurang sivik membuang chewing gum merata, macam la susah sangat nak buang menatang tu dalam tong sampah. Macam gampang lu punya perangai.

Kesian jugak aku tengok mamat tu, mesti menyumpah-nyumpah dalam hati. Dah la penat-penat bekerja seharian, mengadap kerja yang menimbun, makan pun belum tentu sempat. Tup-tup nak balik boleh kena pedajal macam ni pulak. Memang celaka betul hari dia.

Tapi hari aku sebenarnya lagi celaka.

Jam G-Shock yang aku beli di Jalan Masjid India dah menunjukkan pukul 7.30 malam. Ah sial, dah 3 jam rupanya aku berdiri kat sini. Memang dah jadi hobi masa lapang aku, duduk tempat yang crowded sasmbil perhatikan orang sekeliling. Aku pun tak tau kenapa aku ada hobi yang pelik gila babeng macam ni, kekadang aku sanggup keluar masuk kelab-kelab disekitar Bukit Bintang dan Sri Hartamas semata-mata nak tengok orang. Gua bukan minat pun nak tergelek-gelek dalam kelab tu, tapi aku ada fetish dalam bidang observation ni. Ketagih macam mat fit ketagih daun Israel. Ketagih tengok aksi dan gelagat penghuni bandaraya KL yang serba urban ni. Dalam riuh rendah diaorang aku temui kedamaian aku. Tu la hobi aku, pelik kan?

Jam menunjukkan pukul 8.15 malam. "Dah time nak balik dah ni", ujar gua dalam hati. Karang kalau aku terlepas bas Intrakota bernombor 21C yang menuju Taman Tun tu konfem makcik aku bambu aku kaw-kaw. Aku halakan pandangan ke langit malam. Aku hembuskan lagi se-das asap rokok Dunhill menthol sambil mengeluh. Dalam keriuhan kota urban, dibanjiri sinar neon yang menyilaukan mata, aku terlihat sang bulan sayup dilangit malam. Dan hatiku mula teringat kembali janji-janji dia, yang dia bisikkan ke telingaku saat aku rebahkan kepala ke ribanya. Katanya padaku;

"Hanya apabila bulan terbelah dua, cinta kita akan berakhir disana."

Dan air mata jantanku pun mula mengalir. Memang celaka betul hari ini.


Bersambung...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...