Sunday, March 11, 2012

10 Nasihat Berguna Untuk Bakal Penulis

Salam,

Anda minat menulis? Bercita-cita untuk menjadi penulis terkenal dan kaya seperti J.K. Rowling, Stephen King atau John Grisham? (Stephenie Meyer tidak gua mensi di sini kerna perbuatan menghentak kepala ke papan kekunci tidak diketegorikan sebagai menulis)

Siapa dia ni? Anda cari sendiri.

Realitinya, dunia penulisan negara ini masih di takuk lama. Kebanyakan genre yang diteroka dan dikupas penulis-penulis tempatan masih lagi berkenaan tajuk-tajuk yang objektif seperti cinta dan komedi. Dan jarang sekali penerbit-penerbit arus perdana di luar sana yang berani menerbitkan hasil penulisan di luar tajuk-tajuk tersebut.

Maka wujudlah beberapa penerbit-penerbit bebas atau "indie" yang berani mengorak langkah untuk keluar dari takuk lama. Penerbit seperti Buku FixiSeLUT PressSang Freud Press dan juga Lejen Press mengambil langkah berani dengan merekrut segerombolan penulis-penulis baru yang gaya penulisannya berbeza dari karya-karya arus perdana. Sama ada dalam bentuk novel, cerpen ataupun puisi dalam berbagai genre yang sebelum ini dilihat "janggal" atau "tabu" seperti thriller, sai-fi, pulp fiction dan sebagainya.

Dengan kehadiran penerbit-penerbit indie seperti mereka, maka semakin ramailah penulis atau bakal penulis yang bakal muncul dalam dunia penulisan tanah air.

OK, entri hari ini adalah himpunan nasihat dan tips yang berguna untuk bakal-bakal penulis berbakat di luar sana yang masih lagi tercari-cari arah tujuan mereka. Nasihat yang gua bakal outline di sini adalah petikan dari penulis-penulis terkenal tanah air dan juga antarabangsa.

Menulis tak sesukar yang anda jangka. Namun tak senang juga!

Gua mulakan dengan yang pertama:

1. Tetapkan niat anda sebelum menceburi bidang penulisan.

Terus terang gua nyatakan, kalau tujuan anda menulis adalah kerna duit, maka anda lebih berpeluang jadi kaya dengan bekerja sebagai seorang doktor. Menulis memerlukan tahap keikhlasan terhadap seni yang tinggi, dan setiap seni yang dilahirkan dengan rasa ikhlas dan minat akan lebih halus hasilnya. Dan kajian juga menyatakan, kebanyakan penulis akan mati miskin tapi terkenal. Pilih antara dua; duit ataupun nama. Kalau duit yang anda pilih, menulis bukan jalannya. Menulis kerna minat, itulah yang lebih afdal.

Jika bakat yang anda risaukan, di sini gua nyatakan kebanyakan penulis terkenal masa kini bukan dari latar belakang dunia penulisan Gua pegang dengan pepatah meleis, belakang parang kalau di asah akan tajam juga.

2. Banyakkan membaca karya orang lain.

Seperti arkitek dan jurutera, proses pembelajaran mereka adalah daripada hasil kerjatangan individu yang lain. Makanya dalam penulisan, anda harus rajin membaca karya dan gaya penulisan penulis lain sebelum anda ketemu gaya penulisan anda yang tersendiri. Plagiat bukanlah satu opsyen, namun dalam dunia tanpa sempadan ini takkan ada lagi yang asli. Termasuklah payudara.

3. Menulis, dan jangan berhenti menulis.

Ini gua petik dari salah satu Dewa Penulis, iaitu Neil Gaiman. Jika anda minat menulis, jangan sesekali berhenti menulis. Habiskan apa yang anda sedang menulis, dan simpan hasil tulisan anda itu sebagai rujukan. Dan selepas itu mulakan penulisan yang baru. Kebanyakan trend penulis masa kini adalah menggunakan blog sebagai arkib penulisan mereka, dan ia merupakan satu platform yang bagus.

4. Eksperimentasi

Cari genre yang anda selesa, dan mula bereksperimen dengannya. Jika anda selesa dengan genre seram, mulakan penulisan dengan sebuah cerita seram. Genre yang sesuai membolehkan seorang penulis mengolah jalan ceritanya dengan teratur, tanpa perlu membuat rujukan secara menyeluruh tentang genre tersebut. Tak salah untuk bereksperimen dengan beberapa jenis genre sebelum memilih satu daripadanya. Penulis yang baik mempunyai kebolehan untuk menulis beberapa jenis genre cerita. Tapi sebagai permulaan, pilih satu sahaja daripadanya. 

Penulis Ridhwan Saidi pernah menyebut bahawa cerita yang bagus adalah yang berdasarkan pengalaman penulis itu sendiri. Jadi mulakan dengannya. Idea untuk menulis juga akan datang dengan cara yang takkan anda duga, jadi sentiasa bersedia dengan buku nota ataupun telefon bimbit sebagai bank idea anda.

Harus diingat, tak semestinya anda harus terus menulis sebuah novel, mulakan dengan sebuah cerita pendek, dan teruskan menulis beberapa buah cerita selepas itu. 

5. Kepelbagaian.

Menulis dalam erti kata yang sebenar tak tertakluk kepada penulisan novel atau cerpen sahaja. Cabang penulisan yang lain seperti skrip drama atau filem, lirik lagu, terjemahan, sarikata dan banyak lagi merupakan pemangkin kepada seorang penulis. Jika anda benar-benar minat dengan penulisan, jangan hadkan diri anda dengan menulis satu cabang penulisan sahaja. Menceburi cabang penulisan yang lain membolehkan seorang penulis memantapkan lagi gaya penulisannya. 

6. Internet sebagai teman baik seorang penulis.

Seperti yang gua nyatakan di atas, kebanyakan penulis-penulis baru menggunakan blog sebagai medium penyampaian mereka. Ini adalah salah satu cara untuk bagi seorang penulis untuk mendapat liputan tentang hasil karya mereka. Internet juga membolehkan seorang penulis membuat kajian yang terperinci tentang tajuk yang sedang ditulisnya. Jikalau boleh, jangan jadi seorang penulis tanpanya.

7. Terima kritikan sebagai salah satu proses menulis.

Neil Gaiman pernah berkata, hasil karya seorang penulis, terutama sekali karya yang pertama akan dikritik habis-habisan. Jangan jadikan ia sebagai satu halangan bagi anda menulis, tapi jadikan ia sebagai perangsang penulisan anda yang seterusnya. Lihat setiap kritikan dari sudut pandangan yang positif, dan jika kritikan itu kritikan yang membina, aplikasikan ia dalam penulisan anda yang akan datang. Sepertimana seorang pelakon yang sering dikritik kerna lakonannya, begitu juga seorang penulis. Jika Tom Hanks tak dapat menerima kritikan tentang lakonan dalam filem pertamanya, maka beliau takkan terkenal hingga ke hari ini.

8. Ulangkaji hasil karya anda.

Di sini gua petik terus dari kata-kata Neil Gaiman tentang proses menilai sendiri karya yang baru saja anda hasilkan:
"The best advice I can give on this is, once it's done, to put it away until you can read it with new eyes. Finish the short story, print it out, then put it in a drawer and write other things. When you're ready, pick it up and read it, as if you've never read it before. If there are things you aren't satisfied with as a reader, go in and fix them as a writer: that's revision." 
- Neil Gaiman
Pendek kata, jika anda takut untuk orang lain menilai karya anda, anda nilaikannya sendiri menggunakan cara di atas. Menurut penulis Adib Zaini, akan sampai juga satu tahap di mana anda akan membenci karya anda sendiri. Itu juga merupakan salah satu proses kreatif di mana seorang penulis akan merasa ragu-ragu dengan penghasilan sesebuah jalan cerita. Jangan gusar, ini adalah normal bagi seorang penulis. 

Sudah menjadi norma bahawa 10,000 patah perkataan pertama yang anda tulis adalah yang paling lemah. Seorang penulis yang berjaya adalah seorang yang boleh melepasi tahap perkataan ke-10,001 dan meneruskannya hingga tamat.

9. Cari penerbit yang sesuai untuk menerbitkan karya anda.

Bergantung kepada karya yang dihasilkan, jangan segan dan silu untuk menghantarnya kepada beberapa penerbit yang berlainan untuk diterbitkan. Jika anda beniat untuk menerbitkan sebuah novel, hantarkan dua bab pertama kepada penerbit untuk dinilai. Kebanyakan penerbit buku mempunyai para panel yang akan menilai karya anda, dan jika (harap tidak) karya anda ditolak, usah anda berputus asa. Feedback yang diberi oleh penerbit adalah salah satu kritikan membina yang boleh anda guna-pakai sebagai pembakar semangat untuk terus menulis.

10. Teruskan menulis.

Dan yang terakhir, sekali lagi gua ulang. Jika anda benar-benar minat menulis, JANGAN BERHENTI MENULIS. Bergantung kepada mutu karya (dan kadang-kala pada tuah), seorang penulis boleh mengambil masa dari satu hingga 10 tahun sebelum karyanya diterbitkan. Jangan putus asa, teruskan usaha anda dalam dunia penulisan. Kerna esok atau lusa, tiada siapa yang mampu mengagaknya.


Nasihat dan tip-tip yang gua nyatakan di atas hanyalah sebagai nasihat kepada bakal-bakal penulis di luar sana. Seperti anda semua, gua merupakan seorang amatur yang baru lagi menceburkan diri dalam arus perdana dunia penulisan. Di harap entri gua kali ini dapat memberi sedikit-sebanyak dorongan dan panduan kepada semua bakal-bakal penulis hebat di luar sana. 

Banyak yang berkata bahawa menulis ini merupakan satu perkara yang sukar, tapi jika anda belum mencubanya, manakan anda tahu hasilnya. Tak gitu?

Sekian,

Sekadar coretan hati.

P/s: Nasihat-nasihat Neil Gaiman untuk bakal penulis juga boleh dilayari di sini.

Monday, March 5, 2012

Review Buku Fixi: KOPI


Takkan ada satu makhluk dalam planet ini yang tak pernah merasai minuman yang diberi nama 'kopi'. Semua  orang pernah mencerna kepahitan minuman ini, dan tergilakan perasaan yang hadir bersamanya. Ada yang menjadi obsesif dengannya, sehinggakan fizikal dan mental tak dapat berfungsi cermat tanpanya.

Itulah keajaiban satu minuman yang sudah sinonim dalam kehidupan seharian manusia. Ianya lebih adiktif dari teh, lebih menyegarkan dari jus, dan lebih mengkhayalkan dari alkohol. 

Itulah tema yang dibawa oleh antologi yang bergelar KOPI ini. Buku Fixi sekali lagi membawa anda berfikir bagaimana sesuatu objek yang dipandang remeh dan mudah memberi impak yang agak ketara dalam kehidupan seharian seseorang individu, dan kadang-kala ia juga membawa perubahan dalam hidup seseorang.

Berikut adalah kata-kata pengenalan daripada editor KOPI, saudara Amir Muhammad:

Dari usia remaja di alaf yang lalu hingga ke tahun 2011, saya ketagih sesuatu. Ketagihan itu tidak sihat dan saya sering cuba menghentikannya. Tiga kali cuba dan tiga kali gagal. Rupa-rupanya jawapannya ialah untuk mendapat bahan baru untuk dinikmati setiap hari; dan bahan itu adalah kopi.

Saya ingin tahu lebih tentang minuman yang adiktif ini. Ada orang yang akan pergi ke Wikipedia saja. Tapi yang bikin lebih intrig kepada saya: apakah cerita yang boleh direka oleh penulis-penulis Fixi mengenai kopi?


Pelawaan untuk menulis dihantar melalui emel pada 27 November 2011. Seminggu kemudian. hampir semua cerpen dalam buku ni siap ditulis! 'Kopi instan' yang tak sehebat kopi gourmet kah? Tapi adrenalin yang memungkinkan buku ni dihasilkan dengan kelajuan ni lebih kepada ghairah suatu 'quickie' — biarpun cepat berlalu, ia tetap menyegarkan.
 

Jemput!

Antologi KOPI ini menghimpunkan 19 cerpen dari 19 penulis terbaik Fixi yang mengulas tentang satu objek yang amat mudah; kopi. Setiap cerpen mengambil pendekatan yang berlainan, menceritakan dengan gaya penulisan yang berbeza tentang hubung-kait minuman ini dengan manusia. Genre berbeza yang dimainkan dalam setiap cerpen memberi impak yang mendalam kepada pembaca, dan percayalah, apabila anda selesai mengkhatamkan kesemua 177 mukasurat, anda takkan lihat minuman bergelar kopi ini dengan pandangan yang sama seperti sebelumnya.

KOPI membawa genre seperti drama, thriller, cinta, misteri, sai-fai, dan banyak lagi genre yang parallel  dengan sifat minuman yang berstatus kultus itu sendiri. Kesemua 19 cerpen KOPI membawa anda berfikir kembali, bahawa setiap satu perkara, walau betapa kecil sekalipun, mampu memberi boleh memberi kesan yang mendalam. Sama ada dibawah sedar ataupun tidak.

Berikut adalah line-up kesemua 19 cerpen KOPI bersama penulisnya:

KOPI 3 RASA : Shaz Johar
BERSAKSI KOPI : Dayang Noor
KOPI KOLA : Nadia Khan
KOPI, DONAT DAN BAYANG GADIS BERAMBUT HIJAU : Adib Zaini
CINTA KOPI : Gina Yap Lai Yoong
LUWAK DAN KRETEK : Ridhwan Saidi
KOPI PERCIK : Amal Hamsan
KAU KOPIKOKU : Dheepan Pranthaman
KOPI JANTAN KAW : Nik Adam Ahmad
CETHU : Nabila Najwa
BARISTA CINTA : Shafaza Zara Syed Yusof
HARI INDITIH : Asyraf Bakti
MALAM, DI MEJA TEMPAT KAU TERLENTOK : Hafiz Hamzah
RITUAL : Luc Abdullah
TANGAN BERULAT : Fadli Al-Akiti
VENTI : Redza Minhat
KOPI JULIA : Faizal Sulaiman
SECANGKIR KOPI BERSAMA DIA : Syaihan Syafiq
KOPI MIMPI : Raja Faisal

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa tindakan berani Buku Fixi untuk menerbitkan sebuah antologi cerpen yang sering kali dipandang remeh sangat berhasil. Dengan himpunan penulis-penulis hebat seperti Shaz Johar, Adib Zaini, Nadia Khan, Redza Minhat dan Ridhwan Saidi terbukti mampu membawa satu tema yang begitu mudah dan mengolahnya dengan cara yang berbeza. 

Dan terus-terang saya nyatakan, setiap cerpen begitu adiktif dan mengasyikkan sehingga terasa sayang untuk menghabiskannya dalam satu pembacaan. Dan tentu sekali setelah menamatkannya, tiada minuman lain yang didambakan selain dari kopi.

Antologi KOPI ini merupakan cetakan tunggal dan terhad dan hanya dijual di pesta-pesta buku atau di website Kedai Fixi. Acara pelancarannya dijadualkan pada 24 Mac 2012 sempena Art For Grabs di The Annexe, Central Market, Kuala Lumpur. Juga turut serta pada hari pelancaran itu adalah tayangan perdana beberapa filpen yang diadaptasi terus dari antologi KOPI ini. Khabarnya juga ada kopi percuma!

KOPI juga akan berada di booth Fixi di eCurve, Mutiara Damansara pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Juga di Pesta Buku Antarabangsa PWTC pada 27 April hingga 6 Mei 2012.

Bagi peminat Buku Fixi, antologi KOPI adalah sesuatu yang mesti. Anda boleh jangkakan kejutan dalam setiap helaiannya, dan anda takkan kecewa dengan pengakhirannya.

Anda boleh layari fenpej KOPI di Facebook dan website Buku Fixi untuk maklumat lanjut dan kaedah membelinya.

Sekian.

Sekadar coretan hati.

Saturday, March 3, 2012

Dari INVASI, ke KOPI, dan... (BAHAGIAN 2)

Salam 1Galaksi,

Bersambung pula ke bahagian ke-2 entri gua yang panjang lebar ini. So where was I?

Oh, setelah hampir 2 tahun berhempas pulas di kedai serbaneka dengan gaji yang seberapa, atas dorongan keluarga gua akhirnya membuat keputusan meneruskan kembali pelajaran. Dan kali ini gua mendaftar kursus pilihan gua , yang sesuai dengan jiwa gua yang marhaen.

Gua mendaftar untuk kursus perubatan di sebuah IPTS di Shah Alam.

Dengar saja IPTS tentu korang dah boleh bayangkan yuran pengajian yang menggunung kan? Tepat sekali! Namun atas bantuan keluarga juga gua dapat mendaftar dengan jayanya dan meneruskan perjalanan sebagai seorang siswa dalam perjalanan menuntut ilmu.

Dipendekkan cerita lagi, pada awal 2011 gua diperkenalkan dengan dunia penulisan genre urban pop kontemporari, dan terus terang gua kata hati gua tertambat untuk membaca semula. Setelah beberapa buah buku dilahap dengan rakusnya, gua mengambil keputusan untuk kembali menulis (untuk tatapan diri sendiri sahaja).

Dan di penghujung tahun 2011, gua terpanggil untuk menghantar sebuah manuskrip ke sebuah syarikat penerbitan (tak lain tak bukan Buku Fixi) setelah terlihat iklan bos syarikat ini sedang mencari penulis science fiction yang berani meneroka tentang tajuk makhluk asing.

Tak sampai 24 jam, gua menerima feedback dari bos syarikat tersebut, dan ternyata beliau amat terpikat dengan jalan cerita gua. Senang cerita, manuskrip gua itu diterima, maka lahirlah sebuah novel yang bergelar INVASI yang bakal berada di pasaran awal bulan April 2012. 

Oh ya, dan gua juga ditawarkan untuk sebuah buku antologi cerpen (juga oleh Buku Fixi) yang bergelar KOPI (sudah ada di pasaran ya!).

So, apa pengajaran dalam cerita gua yang panjang lebar ini? Sila baca baris di bawah:

Tiada benda yang mustahil jika anda tidak mencubanya.

Ya, dalam banyak-banyak pekerjaan dalam dunia ini, tak pernah gua sangka untuk menjadi seorang penulis. Satu passion (gua gunakan perkataan ini kerna tiada ungkapan yang lebih harum) yang gua pendam sejak kecil lagi.

Anda nak tahu apa reaksi kawan-kawan gua waktu menerima berita yang luar biasa ini?

"Penulis? Ko biar betul beb?"

"Kencing kuat ko ni."

"Erkk. Sumpah aku tak percaya."

"Toksah nak borak kencang lah bro, ko mana ada bakat jadi penulis."

Dan rata-rata muka mereka adalah seperti ini:

"Penulis? Bitch please."

Namun gua telah buktikan, impian boleh jadi nyata. Jika anda mahu berusaha dan ada saluran yang betul. Tiada benda yang mustahil sebelum anda mencubanya. Sedangkan lelaki boleh jadi perempuan, inikan pula orang macam gua ni boleh jadi penulis. Yang penting tu niat, der. Dan yang pastinya gua akan terus menulis selagi ada nyawa dan selagi ada pembaca yang sudi membacanya.

Jadi, gua seru mana-mana insan yang putus harapan di luar sana, jangan sangka langit mendung takkan ada cahaya di baliknya. Jikalau anda sabar menanti, pasti kan ketemu pelangi yang bakal menyinar cahaya spektrumnya.

Tepuk dada, hentakkan kepala. Kalau berani, marilah cuba.

Sekian, sekadar coretan hati.

P/S: Sila rujuk fenpej INVASI dan KOPI untuk maklumat lanjut tentang karya gua ini (sempat lagi promosi beb).

Friday, March 2, 2012

Dari INVASI, ke KOPI, dan... (BAHAGIAN 1)

Salam 1Dunia (because salam 1Malaysia is too mainstream),

Seperti biasa, gua menghilangkan diri selepas hanya satu post yang dah hampir sebulan yang lepas. Namun kehilangan gua bukanlah disengajakan, akan tetapi gua telah menimbuskan diri sendiri dalam kerja yang menggunung dan juga hari peperiksaan akhir yang semakin hampir (yes, I'm still a student, so deal with it).

Memang gua dah lama berhajat nak tulis entri ini, namun masa tak berapa nak bagi izin. Tapi akhirnya gua berjaya menggagahkan diri merangkak turun dari katil walaupun kelopak mata ini terpaksa ditahan menggunakan batang mancis (seriously) gara-gara hampir seminggu tak cukup tidur.

OK, entri hari ini memang sekali lagi tentang kejayaan gua menghasilkan novel INVASI dan juga cerpen KOPI yang kedua-duanya diterbitkan oleh Buku Fixi, namun entri hari ini gua tumpukan pada perjalanan gua sebelum kembalinya gua ke dunia penulisan hingga terbitnya dua buah karya yang boleh gua banggakan.

Cover novel INVASI (jangan tanya novel ni pasal apa ya)

Seriously, bukan gua nak cerita sedih. Tapi tiada sorang pun makhluk dalam dunia yang yang tak pernah merasa susah (kecuali dia Paris Hilton atau anak raja Saudi), tapi sebelum gua ketemu semula dengan minat gua yang dah terpendam lama, pendek kata, gua hanya mampu menggeleng kepala.

Sememangnya minat membaca dan menulis gua sudah bermula dari awal sekolah rendah lagi. Gua juga adalah pembaca tegar novel nukilan Akhadiat Akashah (nak buat macam mana, sepupu semua perempuan) sebelum ia meletup-letup menjadi pujaan ramai. Namakan saja mana-mana penulis tempatan zaman tu, semua gua kenal. Penulis luar pula tak banyak. Maklumlah, gua membesar di kampung yang tak ada shopping complex sampai gua darjah 6.

Gua cuba juga berjinak-jinak (bukan berjimak ya) dengan penulisan dengan menulis di majalah sekolah. Walaupun editor majalah sekolah pada ketika itu adalah kaki bodek cikgu, namun setelah beberapa kali gua hulur not seringgit akhirnya dia setuju juga nak terbitkan.

Cerpen gua di majalah sekolah ketika itu tak berapa mendapat sambuan, kerana murid-murid yang lain lebih suka menghadap gambar kelas sendiri dari membaca cerpen gua itu. Namun gua tak berputus asa. Minat gua menular hingga ke bangku sekolah menengah. Namun begitu setelah gua menjejakkan kaki ke menara gading (atau lebih tepat lagi Universiti Teknologi Mara) pada tahun 2002, minat menulis terpaksa gua hentikan. Nak fokus pada study kononnya. Tapi minat membaca gua masih tetap meluap-luap.

Dipendekkan cerita, setelah tamat graduasi pada 2004 dengan CGPA yang tak seberapa, gua menjelajah serata kota untuk mencari kerja. Tika itu jangankan kata nak menulis, bahan bacaan ruji gua kala itu cuma ruang kerja kosong di dada akhbar. Namun berakhir hampa.

Kerja paling lama di kota besar yang gua boleh dapat pada ketika itu adalah selama 3 bulan, tu pun berhenti sebab kompeni dah nak muflis. Saat itulah gua rasa gua akan tergolong dalam satu golongan di bumi Malaysia yang kaya raya dan aman makmur ini, iaitu golongan SISWAZAH MENGANGGUR TEGAR.

Gua kembali ke kampung kelahiran ibu gua dan cuba memulakan hidup baru di sana. Hasilnya tetap sama. Dari berniaga tepi jalan dan medan selera, hingga mencuci pinggan dan mangkuk. Dan akhir sekali pemegang diploma ini bekerja di 7-Eleven sebagai pembantu kedai.

Tolong jangan anggap gua sedang merengek. Please. Korang kena baca dulu BAHAGIAN KEDUA entri ini untuk cerita yang lengkap.

Jadi, buat masa ini gua ucapkan salam hujung minggu.

Dan ini sekadar coretan hati.

Friday, February 17, 2012

The Veil Has Been Opened - KOPI dan INVASI

Salam buat semua.

Pertama sekali gua memohon maaf kerana dah terlalu lama tak menulis di sini, dan akhirnya gua boleh mendedahkan sebab musabab kenapa gua menghilang.

Sebenarnya gua menghilang selama hampir 4 bulan kerana menyiapkan 2 projek penulisan di bawah naungan syarikat penerbitan Buku Fixi, iaitu sebuah cerpen dan juga sebuah novel.

Pertama sekali mengenai cerpen gua. Cerpen yang bertajuk KOPI MIMPI merupakan salah satu dari himpunan 19 cerpen oleh penulis-penulis yang hebat belaka dan dimuatkan dalam sebuah antologi yang dinamakan KOPI, yang rata-ratanya berkisar tentang (yup, you've guess it) kopi. Antologi KOPI akan mula dijual di website Buku Fixi dan juga pesta-pesta buku yang berdekatan mulai 1 Mac 2012. Oh, antologi ini juga merupakan edisi terhad, dan takkan berada di kedai-kedai buku berdekatan anda.

Sedikit sinopsis dari KOPI MIMPI.

Dan yang kedua (cue dramatic music, please), adalah novel PERTAMA dari gua yang diberi nama INVASI. Sebuah novel bergenre sci-fi yang akan dirilis pada bulan April 2012 di seluruh tanah air. Novel ini mengisahkan tentang serangan alien yang bertempat di Malaysia, dan bagaimana seorang 'accidental hero' cuba menyelamatkan diri di tengah-tengah kemusnahan kota Kuala Lumpur. Sinopsis bagi novel ini adalah seperti di bawah:

Sinopsis INVASI. Kenapa takde cover? Kena tunggu.

Kedua-dua karya ini adalah hasil dari sokongan rakan-rakan yang tak pernah putus menyokong apa jua yang gua kerjakan. Terus terang gua katakan, dalam banyak-banyak pekerjaan yang gua bayangkan, tak pernah sekali terlintas untuk gua jadi penulis. Tapi bak kata orang, potensi seseorang takkan ditemui kalau kita tak berani menerokanya.

Gua harap kepada peminat scene sci-fi & fantasy tempatan di Malaysia agar menyokong usaha gua menghidupkan kembali genre ini yang kian dibayangi oleh komedi slapstik. Untuk perkembangan terbaru antalogi KOPI dan novel INVASI, anda boleh mengikuti laman fanpage kedua-duanya di Facebook. Linknya adalah seperti berikut:


Terima kasih semua, dan ini bukan hanya sekadar coretan hati.

Monday, December 26, 2011

Review Buku Fixi: KELABU

Nota: Review ini adalah spoiler-free. Kalau nak spoiler jugak, sila beli buku ini dikedai buku berdekatan.

Dah beberapa bulan gua tak update blog gua ni, memandangkan gua dah pun busy dengan projek penulisan gua (yang dah nak siap, sebab tu gua boleh blogging balik), dan juga beberapa hal berkaitan dengan study yang tak dapat gua elakkan.

Gua memang merupakan seorang pembaca novel yang tegar, namun tak pernah terlintas dihati gua untuk menulis review untuk mana-mana buku yang pernah gua hadap. Tapi setelah mendapatkan senaskah novel di Boco! 2011 dan juga setelah selesai membacanya, hati gua terpanggil untuk menulis sebuah review mengenai novel yang gua beli itu. Kenapa dan mengapa, yang tu akan dijelaskan dibawah. 

Novel tersebut adalah KELABU, penulisnya pula adalah Nadia Khan (yang lebih selasa gua gelarkan sebagai Nedd), dan diterbitkan oleh syarikat penerbitan yang popular dengan gaya novel pulp fictionnya, tak lain tak bukan adalah Buku Fixi (Sila lihat dibawah untuk cover depannya, dan jangan tanya kenapa cover dia terbalik. Yang itu korang kena baca sendiri).

Gambar: Cover depan novel KELABU

Mengenai penulisnya iaitu Nadia Khan, beliau merupakan seorang lulusan MBBS (ya, beliau adalah seorang doktor, despite tanggapan umum yang tulisan doktor tak lawa. But she wrote this novel using MS Word anyway), dan sudah bercita-cita untuk menjadi seorang penulis sejak berumur 12 tahun lagi (yang beliau dakwa berlaku 5 tahun lepas). Berpengalaman luas dalam bidang penulisan, beliau telah menyertai pelbagai pertandingan penulisan termasuk anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka, sebelum disunting oleh saudara Amir Muhammad untuk dijadikan sebagai penulis Fixi.

Gambar: Penulis KELABU, Nadia Khan bersama penulis ZOMBIJAYA, Adib Zaini (berbaju hitam) dan juga salah seorang bakal penulis Fixi iaitu Mamu Vies. Peminat berbaju cokelat tidak dapat dikenalpasti.

Tapi sebelum tu gua dedahkan sedikit sinopsis novel yang bergelar KELABU ini (yang dicetak dikulit belakang novel ini) untuk tatapan korang semua.

"Senang kalau hidup dalam dunia hitam putih. Baik-buruk, betul-salah, cinta-benci, lelaki-perempuan.

Apa jadi pada yang ditengah-tengah?
Apa jadi pada orang-orang macam aku?

Bila Jun datang pada aku,menawarkan posisi sebagai 'boyfriend kontrak', aku tak tolak. Salah aku ke kalau aku kata "ya" pada awek cun? Salah aku ke kalau aku lagi pandai layan dia daripada boyfriend dia sendiri?

Salah aku ke kalau aku jatuh cinta padanya?

Aku Amir. Jemputlah masuk ke dunia aku, dimana hitam dan putihnya tak berapa jelas. Mungkin hanya selepas itu, korang akan faham macamana rasanya berada didunia aku. Dunia KELABU."

Memetik tulisan saudara Ridhwan Saidi dalam novelnya AMERIKA; "Sesebuah novel yang baik adalah novel yang ditulis berdasarkan pengalaman penulisnya sendiri." Namun bagi gua, sebuah novel yang baik bukan sahaja perlu ditulis berdasarkan pengalaman penulisnya sendiri, namun ia juga harus menyentuh keperibadian pembacanya juga. Dan saat gua membuka muka surat pertama novel KELABU ini, gua dah tau cerita yang disampaikan oleh penulis kecil molek ini banyak menyentuh beberapa aspek dalam hidup gua dan gua pasti juga pembaca-pembaca yang lain;

Hidup ini takkan pernah lekang dengan drama.

Ya, buku ini berkisarkan tentang pelbagai drama yang melanda hidup manusia biasa seperti gua setiap hari. Yang menyentuh aspek moral, cinta, pertemuan dan perpisahan, hidup dan mati, serta perubahan dari satu fasa ke fasa yang lain.

Dan kekuatan yang ditonjolkan dalam tiap bait-bait tulisan dalam novel KELABU inilah yang membezakannya dari mana-mana novel yang sama genre dengannya. Dan juga ia berjaya membuatkan gua yang bukanlah seorang peminat genre ini untuk membacanya.

Pada mulanya gua beranggapan bahawa KELABU merupakan sebuah bahan bacaan yang santai (yang gua boleh lengahkan membaca selama seminggu), namun ternyata sangkaan gua meleset sama sekali. Disetiap bab dalam novel ini terselit plot-twist yang membuatkan gua tak sabar untuk membaca bab yang seterusnya. Dan hanya dalam masa tak sampai sehari gua dah berjaya melahap kesemua 456 muka surat (ya, ini adalah novel Fixi yang terpanjang setakat ini).

Dan juga untuk menyingkatkan lagi review gua yang sedia singkat ini, gua petik kata-kata ucapan penulisnya sewaktu memberi ucapan pelancaran novelnya;

"Jika anda mengharapkan novel ini sebagai sebuah cerita cinta yang penuh suka duka, yang heronya menangis tak berhenti-henti berjurai air mata dari mula sampai penamat, mungkin novel ini adalah ia. Tapi anda akan melihat semua itu dari sudut perspektif yang berbeza." - Nadia Khan


Seperti yang gua tekankan diatas, gua bukanlah peminat tegar genre novel seperti ini, tapi selepas membacanya gua dapati gaya penulisan santainya yang berisi padat dengan pelbagai kisah drama dan konflik hidup seorang manusia dapat menyentuh hati gua. Tak pernah gua sangka perasaan suka, duka, gembira, benci, suspens, dan juga cinta boleh digabungkan menjadi sebuah cerita yang sempurna (bagi gua) yang bernama KELABU ini. Dan yang paling penting, cerita ini adalah mengenai realiti masyarakat yang berlaku setiap hari, sama ada kita sedar ataupun tidak.

KELABU merupakan satu pembacaan yang lengkap yang amat sesuai dibaca oleh semua peringkat umur (kecuali mereka yang masih percaya unicorn tu wujud), dan gua rekomenkan kepada semua untuk membacanya.

So, jangan cerita panjang. Sila dapatkan novel KELABU ini dikedai-kedai buku yang berhampiran, atau boleh juga membeli secara online di www.fixi.com.my.

Sekian,

Sekadar coretan hati.

P/S: Gua adalah manusia yang paling gembira jika novel ini berjaya difilemkan. Sama-sama kita doakan :)

Sunday, October 30, 2011

MM (a.k.a Magical Morning)

It's quiet.
Only the sound of a cicada busting his ass.
And occasionally the sound of a train bustling on the nearby railway.
Or the leaves rustling with the coming breeze.

It's quiet, and cold.
The air is surprisingly fresh.
There's a smell of peace in the air.
Alongside with the smell of burning cocoa from a nearby factory.

It's quiet, and calm.
Not a soul can be seen, not a movement can be found.
But a cat just jumped from the roof.
And it startled me around.

It's really quiet.
And the sky is so clear.
The stars are peeking out among the clouds.
But then maybe it's just an airplane flying about.

Yes, it's quiet.
But I can hear a moaning sound.
I didn't dare to think who the hell is making those.
Whether my neighbor, a ghost, or a hound.

It's damn quiet.
But I like it like this.
I can really use some company, though.
To go through this kind of bliss.

It is quiet.
But I can see myself grinning.
'Cause tomorrow will be a new day.
Beginning with this magical morning.

Good morning.

Image courtesy from Google Inc.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...